Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, promosi tersebut merupakan tanda penghargaan Proton kepada pelanggan yang menempah Iriz sebelum dilancarkan secara rasmi.

Kata beliau, dengan cara itu ia akan memudahkan para pelanggan berpotensi untuk membeli Iriz.

“Selain komitmen bayaran yang rendah, kami turut menawarkan kemudahan tambahan seperti tempahan dalam talian untuk tempoh terhad bagi menarik minat pembeli untuk membuat tempahan secepat mungkin.

“Syarikat juga akan me­ngadakan pratonton di beberapa cawangan Proton Edar bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat Iriz 2019 dengan lebih dekat sebelum pelancaran rasmi. Lokasi pertama adalah di pusat Proton Edar 4S di Chan Sow Lin pada 2 Mac dan 3 Mac ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iriz yang pernah memenangi anugerah untuk model hatchback segmen B dijangka dilancarkan pada Mac dan merupakan model pertama yang dipertingkatkan sejak syarikat automotif tempatan itu memulakan kerjasama dengan Geely.

Iriz direka dengan garisan luaran yang baharu untuk menggambarkan kesinambungan dengan wajah sporty serta untuk membina hubungan visual menggunakan elemen reka bentuk yang mempunyai persamaan di antara model-model yang lain.

Lampu utama baharu makin tipis disatukan dengan hiasan jeriji yang menonjol berbentuk busur yang turut ada pada Proton X70. Bampar depan baharu lebih agresif dengan jeriji radiator yang lebih rendah serta lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED) yang diperkemaskan.

Lampu belakang masih sama tetapi diberi identiti korporat baharu dengan cetakan Proton pada bonet. Iriz 2019 menampilkan unit stereo pintar yang menggunakan kad eSIM dan menawarkan aplikasi se­perti penstriman muzik, sistem pandu arah dan pengecaman suara.

Akses kepada aplikasi ber­kenaan serta fungsi-fungsi lain adalah melalui skrin sentuh antara muka bersaiz tujuh inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16 gigabait. Iriz turut dilengkapi dengan sambungan jalur lebar (WiFi) dan boleh digunakan sebagai hotspot mudah alih atau menyambungkan WiFi dalam jarak jangkauannya.