Terdapat beberapa dokumen yang difailkan dengan Bursa Malaysia menunjukkan Tabung Haji memindahkan sahamnya kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula.

Ia melibatkan saham Naim Holdings Bhd., Malakoff Corp Bhd., Integrated Logistics Bhd., Dayang Enterprise Holdings Bhd., Pintaras Jaya Bhd., Eas­tern & Oriental Bhd., dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd.

Tabung Haji melupuskan sebanyak 24,827,200 unit saham di dalam Naim Holdings, Malakoff Corp (500,000,000 unit), Integrated Logistics (20,584,783 unit), Dayang Enterprise (76,367,600 unit), Pintaras Jaya (11,352,100 unit), Eastern & Oriental (94,248,000 unit) dan Hap Seng Plantations (66,074,500 unit).

Tujuh syarikat berkenaan memfailkan makluman kepada Bursa Malaysia secara berasi­ngan di sini hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Tabung Haji mengumumkan untuk memindahkan aset tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion kepada SPV yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan menjelang 31 Disember ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti bertujuan menstabilkan imbangan tunai dan mempercepatkan pemulihan kewangan kumpulan.

Katanya, aset tidak meng­untungkan akan dikenal pasti menerusi dua kriteria iaitu membabitkan aset dengan hasil kurang 2.5 peratus bagi harta­nah manakala ekuiti, ia memiliki rosot nilai melebihi 20 peratus.

Beliau memberi contoh aset tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) pada 2015 sebagai aset yang tidak menguntungkan.

“Bagi saham yang memiliki rosot nilai melebihi 20 peratus, ia termasuk saham di dalam Felda Global Ventures (FGV). Nilai aset ini adalah berdasarkan kepada nilai buku.

“Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan terbitkan RM10 bi­lion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion,” katanya.

Semua pelaburan akan tertakluk kepada penilaian risiko yang ketat dan Tabung Haji juga melantik satu pasukan pe­ngurusan risiko untuk melihat ke­semua cadangan pelaburan berkenaan.