Sudah tentu pendeposit melahirkan rasa bimbang de­ngan nasib simpanan mereka dan yang paling penting ialah peluang untuk mengerjakan ibadah haji kerana itu jugalah fungsi utama Tabung Haji ditubuhkan.

Namun jangan bimbang kerana deposit mereka kekal selamat dan Tabung Haji juga sebenar­nya sudah diselamatkan melalui penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) yang akan mengambil alih kesemua aset yang tidak me­nguntungkan itu.

SPV yang di bawah Kementerian Kewangan akan menukarkan aset Tabung Haji bernilai RM19.9 bilion kepada penerbitan sukuk tujuh tahun bernilai RM10 bilion dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.9 bilion.

Itulah yang dinyatakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat dalam sidang akhbar penstrukturan dan pemulihan Tabung Haji di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam proses itu tidak ada transaksi wang tunai dan tidak ada jaminan kerajaan ke atas sukuk yang dikeluarkan oleh SPV, sukuk juga tidak boleh dijual beli.

“Tabung Haji akan menyimpan sukuk itu sehingga SPV memilih untuk menebus dengan wang tunai apabila ia (SPV) berjaya merekodkan keuntungan daripada aset yang tidak menguntungkan.

ASET AKAN DIJUAL?

Persoalan yang timbul selepas daripada proses itu ialah bagaimana SPV mendapatkan jaminan untuk menerbitkan bon? Adakah akan berlakunya penjualan aset-aset Tabung Haji yang tidak menguntungkan itu?

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berpendapat (SPV) adalah tidak perlu dalam membantu Tabung Haji berdepan dengan masalah kewangan.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kebanyakan aset dan saham akan terdedah dengan susut nilai ekoran permintaan dan penawaran yang terjejas serta kecairan yang terhad.

Kata Nuradli Ridzwan Shah, keadaan itu menyebabkan banyak institusi lain turut terjejas termasuk syarikat milik kerajaan (GLC).

“Tabung Haji juga tidak terkecuali apabila pelaburan dalam beberapa syarikat menyusut akibat kejatuhan harga saham sekali gus membawa kepada penurunan nilai aset,” katanya menambah Tabung Haji perlu diberi masa untuk memulihkan diri sendiri.

 

APA SELEPAS INI?

Tabung Haji mempunyai pendapatnya sendiri dalam melupuskan aset yang tidak menguntungkan itu. Dalam ilmu ekonomi ada empat sumber penting antaranya, tanah dan modal. Tanah akan mengalami kenaikan nilainya setiap tahun kecuali berlakunya gelembung hartanah.

Dalam hal ini, Tabung Haji akan kehilangan tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang disifatkan tidak me­nguntungkan, beberapa saham syarikat yang merosot kerana kejatuhan bursa tempatan ekoran perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta kejatuhan ringgit akibat langkah Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah pada tahun depan.

Bagaimanapun, kejatuhan ekonomi Malaysia turut berkait dengan persekitaran global dan akan tiba masanya ekonomi kembali pulih. Cuma masanya ialah bila?

DIVIDEN?

Sama ada pendeposit Ta­bung Haji boleh mengharap­kan dividen, Zukri berkata, bagi Tabung Haji membayar dividen, kumpulan mesti memenuhi dua kriteria iaitu mesti mempunyai lebih banyak aset daripada liabiliti dan mesti menguntungkan.

“Pemindahan aset kepada SPV ini dalam masa sama bagi memastikan aset melebihi liabiliti Tabung Haji. Saya positif untuk prestasi Tabung Haji pada 2018,” katanya.