Berbanding membeli saham syarikat tersenarai di pasaran terbuka, ia rumit sedikit untuk memastikan saham yang dibeli itu akan memberi keuntungan kepada si pembeli sama ada dalam waktu terdekat mahupun untuk pegangan jangka panjang.

Dengan persoalan dan pertanyaan daripada orang ramai berkenaan saham-saham di dalam portfolio pelaburan yang masih tidak memberikan hasil atau nilai pelaburan menyusut, Cikgu Saham berkongsi serba sedikit kaedah yang perlu dilakukan oleh pedagang atau pelabur saham.

Di ruangan ini, Cikgu Saham memberi istilah portfolio ‘pekasam’ bagi yang tidak me­nunjukkan peningkatan harga saham atau mengalami penyusutan nilai pelaburan. Dalam erti kata lain, pelabur mengalami kerugian di atas kertas dan masih menyimpan saham-saham tersebut sehingga ke hari ini.

Untuk membaiki portfolio pekasam ini terdiri daripada dua kaedah seperti berikut:

Kaedah 1

Menggunakan kaedah menambah modal baharu dalam bentuk wang tunai dan masih mempunyai saham-saham yang tidak dapat dijual

Merupakan kaedah yang mudah kerana pelabur atau pedagang saham mempunyai lebihan wang tunai untuk memasuki pasaran pada waktu sentimen cergas dengan ba­nyak kaunter untung mengatasi kaunter rugi.

Wang tunai yang baharu disediakan itu ialah untuk membeli saham selain daripada saham-saham yang berada di dalam portfolio pekasam atau membeli saham-saham berpotensi naik dalam masa singkat disebabkan pasaran saham dalam aliran menaik.

Apabila saham yang baharu dibeli itu naik dan dapat memberikan keuntungan, pelabur boleh mengambil tindakan menjual saham-saham yang lama walaupun harga masih tidak naik atau menggunakan strategi cut loss pada saham-saham yang disimpan lama tanpa menunjukkan peningkatan harga.

Dalam kata mudah, pelabur jual dengan kerugian kerana pelabur telah memegang saham tersebut agak lama dan nilai pelaburan masih menyusut atau tiada pergerakan menaik.

Pelabur perlu menjual saham yang berada di dalam portfolio pekasam secara satu persatu tatkala saham yang baharu dibeli memberikan keuntungan.

Rumusannya, modal baharu ini digunakan untuk menstruktur portfolio pekasam dengan membeli saham-saham yang boleh memberi keuntungan dalam waktu singkat.

Kaedah 2

Bersandar kepada portfolio pekasam sahaja yang mana nilai pegangan saham-saham menyusut

Pelabur terpaksa menjual satu atau dua kaunter di dalam portfolio pekasam ini. Pilih mana-mana kaunter yang mempunyai peningkatan harga atau untung kemudian disusuli dengan saham yang mengalami kerugian paling kecil sekali.

Penjualan saham ini bertujuan menjadikan modal pusingan membeli saham yang berpotensi naik dalam masa singkat agar pelabur dapat me­ngurangkan kerugian di atas kertas.

Tindakan menjual kesemua saham di dalam portfolio pekasam adalah tidak digalakkan memandangkan pelabur perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat tindakan menjual. Ini termasuk juga dikhuatiri selepas menjual kesemua pegangan saham, terdapat saham yang dijual itu naik atau mengalami pantulan teknikal.

Apabila satu persatu saham di dalam portfolio pekasam ­te­lah dijual, modal tunai menjadi semakin bertambah, justeru, pelabur dapat membeli unit saham yang lebih banyak kerana dengan sedikit kenaikan harga, pelabur mudah membuat keuntungan dan dapat menjual de­ngan kadar segera sebelum harga saham berubah arah.

Proses ini perlu diulangi beberapa kali sehingga kesemua kaunter pekasam habis dijual dan portfolio telah kosong manakala pelabur mendapat semula modal asal yang dilabur. Ini kemungkinan termasuk untung semasa melakukan proses membaik pulih portfolio.

Fokus utama pelabur yang mengalami kerugian 40 hingga 50 peratus ke atas ialah untuk membuat keuntungan dengan kadar segera agar pelabur dapat memulihkan portfolio de­ngan cepat dan tidak mengambil masa terlalu lama.

Ingin ditekankan di sini pembelian saham dalam kaedah ini memfokuskan kepada kaedah beli dan jual saham untuk membuat keuntungan cepat. Dengan kata lain, kaedah hit and run, transaksi intraday dan urus ­niaga jangka pendek diberi penekanan.

Kepada yang ingin mempelajari pelaburan dalam pasaran saham, sila hubungi talian 019-2352037.