Menurut sumber, sebahagian daripada jawatan kanan terma­suk dalam pengurangan berkenaan dan sebanyak 100 jawatan mungkin digugurkan bagi pasaran Dubai walaupun jumlah itu belum dimukta­madkan.

Pembuangan kerja berkenaan juga termasuk kepimpinan di operasi perbankan utama firma berkenaan yang menawarkan perkhidmatan pengurusan kekayaan peribadi.

Langkah pengurangan kakitangan tersebut diambil susulan Ketua Pegawai Eksekutif Stan­dard Chartered, Bill Winters yang dilaporkan sedang mencari jalan untuk meningkatkan pertumbuhan.

“Bank itu sedang mempertimbangkan rancangan untuk memudahkan strukturnya, mengurangkan perbelanjaan pendanaan dan membebaskan kecairan,” menurut sumber itu lagi.

Seorang wakil Standard Chartered dilaporkan berkata, syarikat itu telah melaksanakan pelan transformasi yang dibentangkan pada 2015 dan akan mendedahkan strateginya untuk meningkatkan pulangan penuh pada Februari.

Bank itu dijangka membentangkan tinjauan strategik untuk menangani kebimbangan pelabur mengenai peningkatan perbelanjaan dan penurunan kira-kira 40 peratus dalam harga saham sejak Winters menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pada Jun 2015.

Winters sebelum ini berkata, Standard Chartered yang berpangkalan di London sedang menjalankan rancangan tiga tahun untuk meningkatkan pres­tasi.

Bank itu mempunyai kira-kira 86,000 pekerja pada akhir bulan Jun. – AGENSI