Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen berkata, ia mewakili pertumbuhan jualan kira-kira 10 peratus dan akan mengukuhkan kedudukan S P Setia sebagai pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

Katanya, kumpulan juga sedang bersedia untuk melancarkan beberapa penawaran produk.

“Pada 31 Disember 2018, kumpulan mempunyai jualan yang belum dibilkan sebanyak RM12.32 bilion dan 45 projek yang sedang dilaksanakan.

“Baki simpanan tanah SP Setia seluas 3,850 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM149.70 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SP Setia mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM670.95 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berbanding RM993.70 juta sebelum ini.

Perolehan menurun kepada RM3.59 bilion daripada RM4.28 bilion disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah, pembinaan dan operasi-operasi lain di bawah kumpulan itu.

Bagaima­napun, SP Setia telah mencapai jualan berjumlah RM5.12 bilion yang melepasi sasaran RM5 bilion, de­ngan 80 peratus hasil datang daripada projek-projek tempatan dan baki 20 peratus daripada kontrak antarabangsa.

Mengenai pasaran tempatan, Chap Jen berkata, sebahagian besar daripada jualan yang diraih adalah dari wilayah te­ngah iaitu sebanyak RM3.11 bilion diikuti dengan wilayah selatan (RM805.1 juta) serta kawasan-kawasan utara dan timur iaitu berjumlah RM206.6 juta.

“Projek-projek antarabangsa pula, iaitu UNO Melbourne terus mencatatkan prestasi yang amat memberangsangkan dengan jualan sebanyak RM653.6 juta manakala Sapphire by the Garden memberi tambahan berjumlah RM65.5 juta kepada jualan.

“Pencapaian jualan menunjukkan ketahanan dan fleksibiliti pasukan syarikat dalam mengemudikan pelbagai hala­ngan dalam sektor pasaran hartanah,” katanya.