Pengarah Perbankan Islam dan Takaful BNM, Mohd. Zabidi Md. Nor berkata, kad skor itu akan menilai perkembangan sejauh mana institusi perbankan Islam melaksanakan inisiatif VBI dalam perniagaannya berasaskan tiga teras utama iaitu sosial, kewangan dan persekitaran.

Menurutnya, terdapat dua elemen dalam skor kad berkenaan iaitu kualitatif dan kuantitatif yang akan mengukur segmen berbeza.

“Buat masa ini, beberapa komponen masih belum dimuktamadkan dan kerjasama dengan komuniti pengamal (CoP) terdiri daripada sembilan institusi perbankan Islam masih berjalan.

“Skor kad ini akan dipantau oleh panel bebas bagi menilai pelaksanaannya dan kesan inisiatif berkenaan kepada negara dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita dalam majlis VBI Teras Kelestarian Perbankan anjuran Standard Chartered Saadiq di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq, Ali Allawala; Ketua Penyelidikan Ekuiti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nor Azam Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Hongbao Media, Mark Laudi dan Pengarah Persekitaran dan Pengurusan Risiko Sosial Standard Chartered Bank, Samantha Bramley.

CoP terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank, Agrobank, HSBC Amanah, Maybank Islamic Berhad, AmBank Islamic Berhad, Alliance Islamic Bank dan Standard Chartered Saadiq Berhad.

BNM mengeluarkan kertas strategi VBI pada tahun lalu bagi memperincikan strategi mengu­kuhkan peranan dan impak institusi perbankan Islam terhadap ekosistem kewangan mapan.

Sementara itu, Nor Azam berkata, KWSP banyak membuat pelaburan dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dan te­lah lama mengamalkan ketelusan dalam pelaporan kewangan bersepadu syarikat-syarikat terlibat.

“Jika dilihat dalam konteks le­bih luas, VBI melangkaui laporan kewangan bersepadu. Oleh itu, banyak kerja yang perlu dilakukan dan berharap dapat merapatkan jurang dengan antara syarikat besar dan kecil,” kata beliau.