Pengarah dan Penasihat HelloGold, Datin Yasmin Merican berkata, aplikasi yang dihasilkan oleh kumpulannya itu membolehkan pengguna membeli dan menjual emas serendah RM1 menerusi platform disediakan.

Katanya, orang ramai boleh menguruskan akaun secara mudah dan menikmati harga pembelian serta penjualan yang kompetitif di dalam pasaran.

“Orang ramai kini tidak perlu lagi bersusah payah untuk menyimpan emas fizikal kerana emas gred pelaburan dengan ketulenan 99.99 peratus dijamin sepenuhnya dan disimpan di bilik kebal di Singapura dengan kawalan keselamatan terkini.

“Kami di HelloGold percaya emas mampu melindungi simpanan orang ramai dan mahu menjadikan produk emas ini sebagai aset yang mampu dimiliki,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ditubuhkan pada 2015 dan memiliki ibu pejabat di Kuala Lumpur, HelloGold memba­ngunkan aplikasi digital emas mudah alih berlandaskan syariah pertama di dunia yang memberi kemudahan untuk membeli dan menjual emas.

HelloGold menggunakan teknologi blockchain membolehkan pelanggannya mendapat akses bagi produk dan perkhidmatan kewangan yang berpatutan, bermula dengan emas.

Syarikat itu kini mempu­nyai lebih 33,000 pelanggan di Malaysia dan telah bertapak di pasaran baharu seperti Thailand.

Sejak aplikasi HelloGold dilancarkan pada April 2017, pelbagai anugerah telah diraih seperti Most Innovative Islamic Retail Product in 2017 oleh Islamic Retail Banking dan terbaharu Best Islamic Wealth Management Fintech Company di Anugerah World Islamic Fintech (WIFA) 2018 yang diadakan di Manama, Bahrin.

HelloGold juga telah dipilih untuk menyertai SuperCharger Malaysia dan D-NEXT Thailand pada 2018.