Ketua Operasi Shopee Malaysia, Esten Mok berkata, buat masa ini terdapat lebih 400,000 penjual yang berdaftar dan 5,000 daripadanya aktif menghadiri bengkel anjuran Shopee University.

Katanya, kebanyakan daripada penjual berdaftar Shopee terdiri dalam kalangan suri rumah dan mereka yang sudah bekerja seterusnya memanfaatkan platform dalam talian itu untuk berniaga.

“Pada 2017, seorang daripada penjual Shopee yang merupakan suri rumah merekodkan perolehan hampir RM1 juta. Ini merupakan pencapaian membanggakan.

“Kami yakin dengan pelbagai inisiatif menerusi Shopee University bakal melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Shopee University menandatangani kerjasama dengan FPX, bagi melancarkan video tutorial dalam talian untuk membimbing lebih ramai para penjual di platform itu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Tay Gim Soon.

Menerusi kerjasama itu, Mok memberitahu, satu video akan dimuat naik setiap minggu dan jumlah keseluruhan adalah 10 video.

“Antara kandungan video meliputi panduan bagi membuat pembayaran dan transaksi dalam talian yang mudah serta memaksimumkan pemasaran digital,” katanya.

Shopee University ditubuhkan pada 2016 bagi membantu peniaga memperkasakan perniagaan di dalam talian dan mendorong pertumbuhan jualan.

FPX dikendalikan oleh PayNet merupakan penyelesai­an pembayaran dalam talian yang membolehkan pembeli membayar pembelian e-dagang menggunakan akaun meliputi 29 buah bank di Malaysia.