Beliau yang sebelum ini menceburi industri elektronik dan logistik mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan roti pita secara kecil-kecilan.

Pada mulanya, beliau dan arwah isteri, Hamidah Abd. Rahman menghasilkan roti pita secara kecil-kecilan dan menjualnya di sekitar Johor.

Susulan permintaan tinggi produk itu, beliau yang merupakan Pengarah Urusan Malinja Do­ner Kebab & Bakery Sdn. Bhd., mempelajari selok belok perniagaan meliputi teknik pemasaran dan pembungkusan.

Seth berkata, beliau membayar gaji pakar membuat roti yang didatangkan dari Lebanon bagi berkongsi ilmu untuk menghasilkan produk yang terbaik dan mampu memenuhi selera orang ramai.

“Tiada perniagaan yang tidak mengalami pasang surut. Kami bermula dengan kosong, pelbagai cabaran kami hadapi, pegang pada konsep jangan toleh ke belakang.

“Saya pernah terpaksa menjual rumah dan kebun yang mana pada waktu itu sudah dipenuhi pelbagai pokok buah-buahan. Meskipun berat untuk melepaskannya, saya yakin pe­ngorbanan ini akan membuahkan hasil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Proses penghasilan roti pita dijalankan di kilang Malinja Do­ner Kebab & Bakery di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar), Batu Caves sementara pembuatan daging kebab di kilang di Johor.

Ujar Seth lagi, pihaknya kini mempunyai mesin dari Itali yang boleh menghasilkan kira-kira 3,250 sehingga 6,500 ke­ping roti pita sehari berbanding hanya 300 keping sebelum ini.
“Kemudahan mesin yang menggunakan teknologi baharu memudahkan penghasilan produk untuk dipasarkan serta membantu meningkatkan peluang pasaran sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

“Kami juga merancang untuk mengeksport ke Singapura, Korea Selatan dan Maldives pada tahun ini,” katanya.

Produk keluarannya terma­suk roti pita, roti naan, inti kebab berasaskan ayam dan da­ging bermula pada harga RM4 sehingga RM13 boleh didapati di Lulu Hypermarket dan pasar raya Mydin di Lembah Klang.

Seth yang merupakan antara penerima dana di bawah Sirim-Fraunhofer dan memanfaatkannya untuk menghasilkan pembungkusan yang lebih menarik. Beliau juga menerima bantuan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Berkongsi perancangan lain tahun ini, beliau berkata, pihaknya akan mula menjual produk di pasar raya besar ­Village Grocer dan juga di kedai Dua Ringgit di Johor.