Selain meningkatkan kecekapan penyelesaian kes dengan proses kerja fast track bagi kes cerai dan program latihan serta melanjutkan pengajian bagi melahirkan pegawai syarie yang lebih kompeten, beliau turut mencadangkan kajian dan semakan semula undang-undang sedia ada.

Pun begitu, perhatian harus diberikan terhadap desakan segelintir pihak yang bertujuan melemahkan keabsahan undang-undang syariah serta institusi kehakimannya. Antara natijah yang dapat dilihat adalah menerusi penghakiman kes Indira Gandhi awal tahun lalu yang disifatkan oleh pendukung liberalisme dan sekularisme sebagai tanda aras penting dalam sistem dwi-perundangan negara.

Cadangan untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi penubuhan mahkamah syariah seperti disuarakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Presiden Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar juga wajar mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Tambahan pula, Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai RUU355 wajar dibentangkan oleh kerajaan. Ia bertujuan meningkatkan had hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah setelah pindaan dibuat di peringkat negeri.

Perlu diingatkan bahawa had hukuman tersebut tidak secara jelas tertumpu kepada kesalahan jenayah syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah, bahkan ia merangkumi kesalahan berkaitan hukum syarak yang diperuntukkan lain-lain enakmen seperti Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 seperti poligami tanpa kebenaran mahkamah dan menganiaya isteri atau suami.

Selain itu, peruntukan khusus mengenai kesalahan murtad dan tatacara keluar dari agama Islam memerlukan pindaan yang lebih tuntas. Saban tahun umat Islam digemparkan dengan permohonan untuk keluar daripada agama Islam yang mengambil jalan mudah melalui mahkamah sivil sehingga menimbulkan kegusaran akibat ketidaktentuan dalam perundangan. Ada dalam kalangan mereka didukung pihak yang membelakangkan bidang kuasa mahkamah syariah dalam hal tersebut dengan cubaan mendapatkan deklarasi oleh mahkamah sivil bahawa kes murtad tidak terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Oleh itu, pindaan bagi memasukkan peruntukan sedemikian dalam enakmen pentadbiran agama Islam di setiap negeri wajar disegerakan bagi meleraikan kecelaruan terhadap undang-undang sedia ada di samping mencegah orang Islam daripada terjebak gejala murtad.

Semoga dengan inisiatif-inisiatif ini, mahkamah syariah dan undang-undang Islam serta prosedur berkaitan dapat diperkasa berteraskan ketegasan prinsip dalam beragama. Ia sekali gus menjadi tamparan hebat kepada pendukung liberalisme dan sekularisme yang menuntut pemisahan agama daripada pentadbiran dan perundangan. Lebih mendukacitakan menuntut agar undang-undang Islam dimansuhkan sama sekali atas alasan mencapai kesamarataan dan mendukung hak asasi manusia.

DANIAL ARIFF SHAARI

Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)