Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini pengeluaran susu cair negara hanya separuh daripada jumlah sasaran itu atau kira-kira 57 peratus dan selebihnya diimport dari luar negara.

Katanya, apabila sasaran ber­kenaan berjaya dicapai, pihaknya yakin kira-kira 80 peratus kebergantungan kepada susu cair dapat dipenuhi.

Menurutnya, beliau melihat sektor tenusu negara sangat berpotensi dan mesti dibangunkan sebagai salah satu daripada kewajipan dalam pembangunan pertanian Malaysia.

“Bagi saya, kita tiada pilihan me­lainkan suatu masa nanti kita mempunyai keupayaan yang secukupnya untuk menghasilkan semua produk tenusu bagi keperluan rakyat.

“Saya percaya dalam rangka membangunkan masyarakat yang sihat dan maju, soal nutrisi adalah suatu yang penting untuk anak kecil, ibu mengandung, bayi dan rakyat negara ini mendapatkan susu segar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kompleks Tenusu Pekan Dairy Farm di Chini di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Eksekutif Pekan Dairy Farm Sdn. Bhd., Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor.

Ahmad Shabery berkata, setakat ini terdapat hampir 100 usa­hawan pengeluar tenusu tempatan secara skala sederhana manakala dua lagi secara besar-besaran.

“Kita yakin jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan situasi semasa dan bantuan daripada kerajaan dalam membantu usahawan tempatan ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya bercadang mewujudkan lembaga ataupun majlis tenusu bagi membantu kerajaan memantau industri tenusu negara ini supaya terus berkembang pesat dan dapat menampung peningkatan permintaan susu cair tempatan.

“Lembaga atau majlis berkenaan dijangka disertai wakil daripada beberapa kementerian termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

“Wakil daripada kerajaan negeri juga akan dimasukkan dalam lembaga ini kerana merekalah yang akan meluluskan tanah bagi tujuan pembangunan ladang ternakan lembu tenusu,” katanya.