Naib Presiden Kanan Samsung India, Asim Warsi berkata, sebanyak tiga telefon pintar siri M berharga di bawah 20,000 rupee (RM1,158) bagi setiap peranti akan dilancarkan pada 5 Februari ini.

Katanya, model yang paling murah akan dijual kurang daripada 10,000 rupee (RM579.33) menerusi platform dalam talian Samsung India dan juga di Amazon India.

“Ia disasarkan untuk golongan millennial yang membentuk satu pertiga daripada 1.3 bilion penduduk India dan terdiri daripada separuh pembeli dalam talian di negara itu.

“Produk baharu ini juga adalah inisiatif kumpulan bagi bangun kembali selepas tewas kepada Xiaomi Corp. dan pesaing Cina yang lain,” katanya dalam laporan Bloomberg di sini hari ini.

Samsung seterusnya bakal melancarkan telefon pintar siri M ke pasaran lain pada masa akan datang.

Pertumbuhan jualan telefon pintar semakin lemah dan tepu di pasaran barat menyebabkan pembuat telefon pintar termasuk Apple Inc., Samsung dan Xiaomi meneroka India.

India, negara kedua paling ramai penduduk di dunia dan yang paling pesat berkembang menawarkan potensi yang tinggi.

Ini kerana, hanya 24 peratus daripada masyarakat India memiliki telefon pintar justeru terdapat banyak ruang untuk mendapat pelanggan baharu. - AGENSI