Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, kemudahan tersebut ditawarkan secara eksklusif kepada pengedar Proton yang layak untuk memudahkan mereka menaik taraf kepada pusat 3S dan 4S.

“Menerusi kerjasama de­ngan Proton Edar, kami berhasrat menyediakan penyelesaian pembiayaan dan pengurusan tunai eksklusif kepada pengedar Proton,” katanya pada majlis pertukaran dokumen antara Ambank, CGC dan Proton di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt; Pengerusi AmBank, Voon Seng Chuan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd Ishak dan Pengarah Pemasaran Proton Edar Sdn. Bhd., Cheng Seng Fook.

Tambah Sulaiman, kemudahan yang ditawarkan adalah merupakan kemudahan pinjaman berjangka antara RM1 juta hingga RM3 juta, dengan 70 peratus pinjaman dijamin CGC, manakala yuran jaminan dise­rap oleh AmBank.

“Pengedar boleh mengemukakan permohonan bermula 18 Januari 2019 dan ia akan di­proses berasaskan siapa yang cepat dengan peruntukan dihadkan pada RM100 juta,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zamree berkata, program tersebut sangat penting kepada AmBank dan CGC kerana PG khas ini menyediakan akses kewangan untuk pengedar Proton menaik taraf kemudahan yang ditawarkan.

“CGC berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama ini untuk menyokong Proton, satu jenama penting dalam industri automotif Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, CGC dan Ambank telah lama menjalin kerjasama bagi memberi kemudahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak empat tahun lalu.

“Kami juga sedang dalam perancangan untuk bekerjasama dengan jenama-jenama lain dengan memberi tumpuan kepada PKS,” katanya.