Pengarah Urusannya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, RHB adalah bank Malaysia pertama yang memperkenal kad debit tersebut dan menyasarkan untuk mengeluarkan 15,000 kad pada tahun pertama.

Beliau berkata pelancaran kad debit itu adalah sebahagian daripada komitmen RHB untuk menjadikan perbankan lebih mudah, pantas dan lancar untuk pelanggannya.

“Kad debit ini akan memperkasa gaya hidup pelanggan RHB dan memberi laluan kepada pelbagai keperluan kewangan tanpa perlu membuka akaun di negara lain,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kad Debit Visa RHB Pelbagai Mata Wang dan Kad Debit Visa Pelbagai Mata Wang Premier RHB, di sini.

Khairussaleh berkata kedua-dua kad ini menyokong dolar Amerika Syarikat (AS), dolar Kanada, yen Jepun, pound sterling British, dolar Australia, dolar New Zealand, franc Swiss, dolar Hong Kong, riyal Saudi, rand Afrika Selatan, dolar Singapura dan baht Thailand.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia Ng Kong Boon berkata pelanggan akan menikmati kadar pertukaran kompetitif kepada 13 mata wang asing apabila mereka menggunakan kad debit tanpa sebarang caj pertukaran atau urus niaga.

Pelanggan boleh membuka akaun RHB Pelbagai Mata Wang itu dengan deposit permulaan minimum sebanyak AS$1,000 atau setara. - BERNAMA