Kumpulan itu berhasrat menambah kapasiti stesen tenaga­nya kepada 1,000 megawat (mW) daripada 380 mW ketika ini dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Tenaga, Ir Zahrul Faizi Hussien.

Menurut beliau, Ranhill sedang mengkaji beberapa projek berpotensi di rantau ini, terutama di Myanmar, Thailand dan Kemboja.

“Kami akan umumkan apabila tiba masanya. Kami sedang meneliti stesen paling sesuai yang mungkin diperlukan mereka.

“Ia mungkin turbin gas kitaran gabungan (CCGT) untuk Myanmar dan Kemboja. Biasanya, kami akan menubuhkan satu konsortium (dalam negara terlibat untuk menjalankan projek itu),” kata­nya kepada Bernama.

Zahrul Faizi berkata, kumpu­l­an itu akan memperuntukkan antara RM100 juta dan RM150 juta untuk projek terbabit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan media ke dua stesen turbin gas gabungan 190 mW Ranhill, iaitu Stesen Tenaga Teluk Salut dan Stesen Tenaga Rugading di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Kehadiran kumpulan itu di Sabah adalah melalui anak syarikatnya, Ranhill Powertron Group, iaitu Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Ia adalah penyumbang terbesar kepada keperluan tenaga Sabah Electricity Sdn. Bhd. yang menjana, menghantar dan meng­agihkan elektrik di negeri itu dan Labuan.

Sementara itu, stesen Teluk Salut yang diuruskan Ranhill Powertron Sdn. Bhd. dan Stesen Rugading oleh Ranhill Powertron II Sdn. Bhd., telah berope­rasi sepenuhnya dengan men­yumbang 37 peratus permintaan beban maksimum kepada grid Sabah.

Stesen tenaga kitaran gabu­ngan menggunakan turbin wap dan gas serentak untuk menghasilkan sehingga 50 peratus elektrik tambahan berbanding stesen tradisional kitaran mudah.

“Kami menganggap syarikat kami sebagai syarikat penjanaan tenaga yang kecil dengan kapasiti 380 mW jika dibandingkan de­ngan IPP lain.

“Di Sabah, kami besar tapi di Malaysia kami agak kecil. Kami berpendapat 1,000 mW adalah sasaran yang boleh dicapai dengan syarat kami turut beroperasi di luar Malaysia,” kata Zahrul Faizi.

Ranhill merancang untuk mempunyai sumbangan pendapatan yang sama daripada sektor air dan tenaga berbanding 70:30 sekarang ini.

Kumpulan air dan penjanaan tenaga yang disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu mencatat pendapatan RM1.072 bi­lion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2016 manakala untung sebelum cukai berjumlah RM139.3 juta.

Daripada jumlah itu, segmen tenaga menyumbang pendapatan RM239.1 juta dan keuntungan sebelum cukai RM43.9 juta.

Ketika ditanya mengenai perkembangan stesen gas kitaran gabungan ketiganya di Sabah, Zahrul Faizi berkata, kumpulan itu menjangka beberapa kemajuan akan dicapai dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang. – BERNAMA