Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation dan Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kerjasama itu juga membolehkan pihaknya me­ningkatkan penawaran produk dan pengalaman hidangan yang disediakan kepada penghuni, pelajar dan warga kerja di sekitar kampus UTM.

“Ini akan membolehkan QSR Brands terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran di negara ini dengan memanfaatkan lokasi-lokasi strategik institusi pendidikan.

“KFC UTM Gurney Mall me­ru­pakan cawangan KFC yang ke-22 dibuka untuk tahun ini dan ia selari dengan matlamat kami untuk membuka 23 buah restoran pada 2018 sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan jenama KFC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KFC UTM Gurney Mall yang terletak berhampiran Residensi UTMKL, Jalan Semarak dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Pelancaran KFC UTM Gurney Mall yang juga merupakan cawangan KFC yang ke-701 itu diadakan bersempena perasmian projek terbaharu UTM, Resi­densi UTMKL serta Hari Jepun MJIIT 2018.

QSR Brands merupakan pemegang francais bagi 800 restoran KFC di Malaysia, Si­ngapura, Brunei, dan Kemboja, dan ia juga merupakan pengendali restoran Pizza Hut di lebih daripada 380 restoran di Malaysia dan 80 restoran di Singapura.

Sebagai tambahan kepada operasi restorannya, QSR Brands turut terlibat secara meluas dalam pembiakan baka ayam, perladangan ayam kontrak, penetasan telur ayam, pengeluaran dan pemprosesan daging ayam serta perniagaan sampingan seperti pemprosesan roti dan pembuatan sos.

Ia menjadikan QSR Brands sebagai satu-satunya pengendali makanan bersepadu sepenuhnya di Malaysia.