Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Proton Iriz dan Preve masing-masing menerima anugerah kenderaan paling mampu milik lima bintang ASEAN NCAP di Malaysia dan Thailand, manakala Saga baharu merangkul Anugerah Bintang Meningkat Naik.

Beliau berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan hasil usaha berterusan Proton dalam memberikan lebih nilai kepada pelanggannya.

“Kami amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan. Proton sememangnya memberikan penekanan kepada aspek keselamatan dan kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut beliau, semua varian Iriz dan Preve didatangkan se­penuhnya dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif seperti Kawalan Kestabilan Elek­tronik (ESC), Sistem Brek Antikekunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan cerun, beg udara dan sistem peringatan tali pinggang keledar.

Melengkapi ciri-ciri kesela­matan kereta itu adalah struktur badan Hot Press Forming (HPF), yang merupakan teknologi Jerman diterima pakai oleh Proton.

Generasi ketiga Saga baharu, varian Premium 1.3L juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti ESC, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan cerun, 2 beg udara, ISOFIX dan top-tether, dengan sensor keliling pada hanya RM45,800 sebuah.

“Evolusi Saga mencerminkan kesungguhan Proton untuk memperbaiki Saga dari hanya bertaraf satu bintang pada 2012 ke tiga bintang pada 2013 dan baru-baru ini mencapai empat bintang apabila diuji pada 2016, seterusnya memenangi Anugerah Bintang Meningkat Naik.

“Kami bersyukur dengan pengiktirafan kerja keras ini dan kepercayaan berterusan ke atas produk kami dan ini pastinya menyuntik semangat agar Proton terus bekerja kuat untuk memberikan produk dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan menghasilkan kereta mampu milik dan selamat di rantau ini,” katanya.

ASEAN NCAP atau Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara merupakan usaha bersama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Global NCAP.