Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, jualan kenderaan Proton juga meningkat sebanyak 37 peratus tahun ke tahun dan bagi dua bulan pertama 2019, jualan Proton naik sebanyak 42 peratus berbanding 2018.

“Pencapaian itu sekali gus meletakkan Proton mendahului pesaing-pesaingnya dalam peningkatan jualan untuk dua bulan berturut-turut dan terus mengukuhkan kedudukan sebagai jenama automotif ketiga yang menjadi pilihan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Chunrong, pendaftaran bagi model Proton X70 terus melonjak dengan seba­nyak 2,823 buah telah didaftarkan pada Februari termasuklah 1,000 buah yang telah dise­rahkan secara serentak kepada pelanggan di seluruh negara sebelum Tahun Baharu Cina yang lalu.

Katanya, sehingga akhir Februari, lebih 20,000 tempahan telah diterima untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton, melebihi jangkaan syarikat dan menjadikan Proton sebagai peneraju segmen berkenaan meskipun baru menerokai pasaran tersebut.

“Proton X70 sedang berusaha menarik minat dan sokongan padu daripada pembeli-pembeli SUV di Malaysia. Kami sangat berterima kasih di atas jumlah tempahan yang diterima dan akan bekerja keras mendapatkan seberapa banyak unit untuk didaftarkan dan diserahkan kepada pelanggan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 6,927 buah Proton X70 telah diserahkan sejak model itu dilancarkan pada 12 Disember 2018 dan Proton telah mencatatkan rekod baharu bagi pendaftaran model tersebut dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya.

“Proton berbangga dengan pencapaian rekod baharu yang dicatatkan bagi pendaftaran SUV berkenaan dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya,’’ katanya.

“Angka tersebut lebih bermakna apabila jumlah itu dicapai dalam tempoh dua perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina yang mengambil masa hanya 78 hari.

“Sasaran kami seterusnya adalah memenuhi jumlah pendaftaran enam bulan dan sepanjang tahun. Kami yakin ia dapat dicapai,” katanya.