Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation (MyHSR Corp), Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, pihaknya menafikan dakwaan beberapa buah negara yang mendakwa telah membolot projek tersebut.

Katanya, Malaysia dan Si­ngapura akan mengadakan taklimat industri kedua di London 26 September ini bagi berkongsi lebih banyak maklumat mengenai projek tersebut.

“Taklimat itu bertujuan ber­kongsi kemas kini terbaharu sebagai maklum balas kepada pertanyaan industri hasil daripada taklimat pertama yang diadakan pada bulan Julai dan ia juga membolehkan para peserta me­ngadakan pertemuan dua mata,” katanya kepada Bloomberg di sini hari ini.

Sesi taklimat pertama itu dihadiri 40 peratus peserta dari Eropah, Malaysia (20 peratus), Amerika Utara (10 peratus), Singapura (15 peratus), Asia (10 peratus) dan Australia (lima peratus).

Projek HSR KL-Singapura ba­kal meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai antara negara yang mampu menyediakan sistem pe­ngangkutan bertaraf dunia.

Dijangka siap menjelang 2026, iaitu kira-kira sembilan tahun dari sekarang, projek berkenaan menjadi penanda aras kepada hasrat Malaysia untuk muncul negara berpendapatan tinggi.

MyHSR Corp merupakan entiti pelaksana yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan projek tersebut dan telah menggariskan perkembangan HSR serta peluang yang boleh direbut oleh syarikat tempatan dengan lebih terperinci untuk sama-sama membangunkan projek mega yang bakal menjadi mercu tanda baharu Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini berkata, HSR KL-Singapura dijangka melalui tiga fasa bagi kedua-dua kerja am dan sistem berkaitan teknologi iaitu fasa reka bentuk, pembinaan serta fasa ujian dan pelaksanaan.

Menurut Abdul Rahman, bagi kerja-kerja reka bentuk am, setakat ini enam konsortium telah dilantik terdiri daripada syarikat perunding kejuruteraan tempatan dan asing untuk membantu dalam penyediaan Reka Bentuk Rujukan bagi projek kerja-kerja am di Malaysia.

Untuk reka bentuk tek­nologi dan sistem, MyHSR Corp dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura baru-baru ini melantik Joint Development Partner (JDP), yang juga terdiri daripada syarikat tempatan dan asing.

“Selain itu, MyHSR Corp juga akan membuka tender untuk InfraCo yang akan mematuhi dasar inklusif daripada kerajaan, dengan memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat tempatan termasuk semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berada dalam nilai rantaian untuk sama-sama meraih manfaat daripada pembinaan HSR.

“Bagi fasa pembinaan, kami menjangkakan projek ini mampu menawarkan banyak peluang kepada syarikat-syarikat terlibat, antaranya dalam kerja-kerja ber­kaitan perundingan (kejuru­te­raan, pe­rancangan utama, alam sekitar), kaji selidik dan penilaian, utiliti dan pengambilan tanah, kerja-kerja am (jambatan, terowong, stesen dan teknologi infrastruktur), operasi dan pe­nyenggaraan, per­khidmatan kese­lamatan, per­khidmatan teknologi serta perkhidmatan mekanikal dan elektrikal,” kata Abdul Rahman.