Pada zaman serba moden ini, pengiklanan sudah menjadi kaedah yang kurang efektif untuk menarik perhatian para pengguna. Ahli perniagaan terutama mereka yang terlibat dalam e-dagang perlu menggunakan cara alternatif untuk mempromosikan perniagaan. Di sinilah SEO memainkan peranan pen­ting sebagai kaedah pemasaran terbaharu untuk mendapatkan perhatian pengguna internet.

Mengapakah iklan tidak begitu efektif sekarang?

Pada suatu ketika, iklan me­rupakan satu daripada kaedah pemasaran yang berkesan bagi perniagaan. Namun begitu, terdapat pelbagai faktor mengakibatkan iklan hilang daya tarikannya.

Kewujudan aplikasi penghalang iklan

Dengan perkembangan tek­nologi maklumat, semakin ba­nyak aplikasi dan perisian dicipta yang mempunyai keupayaan menghalang sebarang maklumat menyerupai iklan untuk sampai kepada pengguna. Ramai pengguna internet mungkin melihat iklan sebagai gangguan menjengkelkan dan akan memuat turun perisian yang mampu menghalang iklan daripada muncul di skrin mereka dengan serta-merta. Saya tidak mengatakan bahawa iklan tidak lagi berkesan, tetapi perniagaan e-dagang perlu mempelbagaikan aktiviti pemasaran mereka dan SEO merupakan satu daripada peluang penting bagi mereka.

Apakah SEO?

Seperti yang diperkenalkan secara ringkas di atas, SEO atau search engine optimization me­rupakan cara yang amat berguna bagi perniagaan e-dagang untuk menyampaikan maklumat tentang perniagaan mereka kepada para pengguna. SEO adalah teknik yang digunakan untuk meningkatkan jumlah kunju­ngan ke sebuah laman web ter­tentu dengan memanfaatkan mekanisme mesin pencari se­perti Google, Bing, Yahoo dan MSN.

Secara ringkasnya, SEO me­rupakan strategi untuk menambahkan jumlah kunjungan ke laman web dengan menampilkan laman sesawang tersebut di halaman pertama sesebuah mesin pencari untuk kata kunci yang terpilih. Contohnya, jika perniagaan anda menjual produk wangian yang diperbuat daripada bahan organik, anda mahukan perniagaan anda muncul di halaman pertama sesebuah mesin pencari.

Ini kerana pengguna internet kerap menggunakan mesin pencari untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu produk atau perkhidmatan yang diingini. Jika perniagaan anda berada di halaman pertama mesin pencari tersebut, kebarangkalian perniagaan e-dagang anda untuk dilihat dan dikunjungi akan meningkat secara berlipat kali ganda.

Manfaat perniagaan e-dagang menggunakan SEO

Setakat ini, anda mungkin mempunyai keinginan untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang kebaikan menggunakan SEO bagi perniagaan dalam talian. Secara umumnya, SEO boleh memanfaatkan perniagaan anda dalam tiga cara:-

1. Menambah potensi trafik ke laman web perniagaan

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, SEO dapat memastikan perniagaan anda mendapat pendedahan yang diingini melalui kedudukan di halaman pertama mesin pencari, mi­salnya Google. Semakin tinggi posisi anda di halaman pertama, semakin tinggilah potensi pengguna mengunjungi laman perniagaan anda. Penjanaan trafik yang tinggi akan meningkatkan peluang untuk mendapatkan calon pelanggan yang bakal membeli produk anda.

2. Meningkatkan kesedaran pengguna tentang perniagaan anda

SEO merupakan satu cara yang baik untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang perniagaan anda. Kesedaran ini boleh didefinisikan sebagai kemampuan seseorang pengguna mengenali dan mengingati sesebuah jenama atau nama perniagaan. Jika pelanggan berupaya mengingati perniagaan anda, kebarangkalian pelanggan tersebut membeli barangan daripada anda juga kian meningkat.

3. Mendapatkan maklumat pelanggan secara sah

Satu daripada masalah yang sering dialami oleh pengusaha perniagaan e-dagang ialah mendapatkan maklumat calon pelanggan atau pelanggan setia mereka. Banyak perniagaan menggunakan perbelanjaan yang tinggi demi mendapatkan maklumat pelanggan mereka seperti nombor telefon dan e-mel. Dengan menggunakan SEO, anda mampu mendapatkan data penting pengguna secara sah dengan mudah.

Minggu depan, saya akan berkongsi kelemahan peniaga e-dagang jika mereka memberi tumpuan kepada pendekatan SEO.

Jeremy Chew adalah Ketua Pemasaran Kandungan di iPrice Group Malaysia (https://iprice.my)