SYED KAMARULZAMAN

Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, francais perkhidmatan mempunyai potensi yang besar untuk diteroka sama seperti makanan dan minuman (F&B).

Menurut beliau, francais dalam sektor F&B, perkhidmatan dan pendidikan dilihat antara yang paling kukuh untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Setakat ini hampir 65 buah syarikat telah mengembangkan perniagaan ke luar negara dan beroperasi di 64 buah negara. Jumlah ini jelas menggambarkan bahawa produk Malaysia boleh berjaya dan diterima oleh masyarakat luar.

“Para usahawan yang berke­upayaan boleh belajar cara perniagaan francais daripada syarikat-syarikat yang telah berjaya dan mereka tidak lagi perlu bergelut di pasaran tempatan. Dunia ini luas dan peluang ada di mana-mana,” katanya dalam majlis perasmian cawangan Gloria Jean’s Coffees Bukit Bintang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MyFranchise, Datuk Azmi Mohd. Ali dan Ketua Divisyen Operasi dan Perniagaan Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd., Izdihar Mostaman.

Tambah Syed Kamarulzaman, untuk mencari syarikat-syarikat yang berminat menjalankan perniagaan francais bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, kejayaan sesuatu perniagaan itu bergantung kepada individu itu sendiri kerana francais mempunyai sistem dan peraturan yang perlu diikuti dan dipatuhi.

“Terdapat cabaran apabila kita berurusan dengan pihak ketiga. Mereka mempunyai sistem atau cara tersendiri bagaimana untuk melaksanakan perniagaan dan kita perlu akur.

“Begitu juga dengan setiap negara yang ingin dimasuki di mana terdapat undang-undang dan per­aturan berkaitan francais yang perlu difahami dan diikuti. Sekiranya tidak bersedia mungkin mereka tidak akan berjaya,” ujarnya.