Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, Hanizan kini bertanggungjawab menyelia dan mengawasi operasi harian semua unit di Bahagian Pengurusan Aset yang merangkumi Pengurusan Dana, Peruntukan Aset Strategik, Operasi Pasaran Ekuiti, Pendapatan Tetap, Analisis Pelaburan dan Jabatan Ekonomi.

“Beliau memulakan tugas di PNB sebagai pelatih graduan pada 1996. Sepanjang 22 tahun kerjaya beliau di PNB, Hanizan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang merangkumi Penyelidikan Ekuiti, Pasaran Kewangan, Pendapatan Tetap dan Pengurusan Portfolio.

“Graduan ekonomi dari Northwestern University, Amerika Syarikat ini juga memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal dan baharu sahaja menamatkan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan sama, PNB turut mengumumkan persaraan Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengurusan Aset, Datuk Idris Kechot berkuat kuasa 31 Disember 2018.

Katanya, Idris telah berkhidmat selama lebih 34 tahun dengan Kumpulan PNB, termasuk Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) yang merupakan sebuah syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB.

“Beliau adalah antara ahli Pengurusan Kanan PNB yang terawal dan banyak mencurah jasa. Bagi pihak Lembaga Pengarah, Pengurusan dan kakitangan PNB, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau atas sumbangan berharga kepada Kumpulan PNB,” katanya. - UTUSAN ONLINE