Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PLUS itu akan menawarkan kursus latihan, bim­­bingan mentor dan bantuan perniagaan kepada 20 wanita setiap tahun.

Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim berkata, sasaran utama program itu adalah kaum wanita yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari lebuh raya seperti ibu tunggal, golongan B40 dan mereka yang berumur antara 23 hingga 36 tahun.

Beliau berkata, pendaftaran untuk WEP akan dibuka pada 15 April ini dan pengambilan pertama bermula pada Ogos depan.

“Mereka yang terpilih untuk menyertai WEP akan diberikan latihan, pendedahan dan kemahiran tentang aspek-aspek perniagaan,” katanya berucap sempena pelancaran WEP PLUS di R&R Dengkil di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, timbalan beliau, Hannah Yeoh dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Menurut Mohd. Sheriff, menerusi program WEP, usahawan wanita berpeluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dan memasarkan produk secara terus kepada pelanggan lebuh raya di R&R atau hentian sebelah.

Beliau berkata, PLUS telah memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan di sepanjang jajaran lebuh raya termasuk di R&R, plaza tol dan operasi penyelenggaraan lebuh raya.

“Misalnya, kewujudan R&R di sepanjang lebuh raya PLUS telah berjaya menyediakan lebih 5,500 peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

WEP yang julung kali diperke­nalkan PLUS  mendapat sokong­an penuh kementerian serta Lembaga Lebuhraya Malaysia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawanita yang berjaya.

Ketika ini terdapat lebih 600 gerai yang beroperasi di R&R PLUS, dengan 46 peratus daripadanya diusahakan oleh wanita, tujuh peratus adalah ibu tunggal.

Dalam pada itu, Mohd. Sheriff berkata, PLUS akan memberi wajah baharu kepada beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih kelolaannya supaya tampil lebih moden dan kontemporari, sesuai dengan kehendak dan citarasa pelanggan lebuh raya masa kini.