Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, persekitaran ekonomi ketika ini disifatkan berada dalam ke­adaan terbaik bagi PKS merebut peluang berkenaan.

Dalam masa sama, kata beliau, kerajaan juga akan menyokong usaha PKS menerusi pelbagai platform supaya IPO itu bukan hanya dapat dibuat di pasaran dalam negara malah sehingga ke luar negara.

 

“Apa yang penting, PKS ini boleh memperkasa syarikat masing-masing dengan modal yang kukuh dan pe­ngurusan mapan seterusnya mampu memberi keyakinan kepada pihak luar terhadap syarikat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama usahawan PKS negeri ini dalam seminar Penyenaraian Bursa Malaysia 2019: Membuka Peluang PKS Disenaraikan di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan.

Sementara itu, Tajuddin berkata, Bursa Malaysia kini menawarkan akses modal bagi tujuan pemprofilan syarikat untuk usahawan IKS dengan mo­del yang diguna pakai adalah telus dan mudah berbanding pasaran utama.

“Kita hanya benarkan pelabur sofistikated dan usahawan dengan jaringan yang tinggi kerana mahu mereka faham tentang ganjaran risiko apabila disenaraikan,” katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin melahirkan keyakinan Bursa Malaysia sepanjang tahun ini akan menyaksikan lebih banyak terbitan IPO termasuk daripada syarikat berprestasi tinggi yang ditunggu-tunggu banyak pihak seperti QSR Brands (M) Hol­dings dan Leong Hup International Bhd.

Perkembangan itu, kata beliau, akan menyaksikan Bursa Malaysia mampu mencatat kegemilangan sebagai pilihan utama syarikat untuk menerbitkan IPO seperti direkodkan pada 2013 dan 2015.