Model hatchback kali ini ialah Kia Picanto EX serba baharu berkapasiti 1.2 Liter MPI DOHC yang dibawa masuk oleh Naza Kia Malaysia.

Bagaimanakah prestasinya? Penulis boleh sifatkan ia sebuah jentera yang cukup menarik dan terus-terang untuk penulis katakan telah jatuh cinta pada Kia Picanto serba baharu ini.

Sebagai sebuah kenderaan segmen A, perasaan semasa memandu dan mengendalikan jentera ini nyata amat memuaskan hati penulis. Kebetulan semasa mengujinya, penulis baharu sahaja menguji Perodua Axia SE yang juga merupakan kenderaan segmen A.

Apa yang penulis kagumi ialah elemen NVH iaitu bunyi bising, gegaran dan kekasaran pada Kia Picanto ini. Walaupun ia sebuah kenderaan segmen A, tetapi NVH yang ditala untuknya seperti sebuah kenderaan segmen C. Se­nyap dan selesa dalam pemanduan.

Rim 14 inci dengan gabu­ngan suspensi MacPherson Strut pada hadapan dan Coupled Torsion Beax Axle (CTBX) terbukti me­nyerap segala gegaran dan menghindari bunyi bising dari memasuki ruang kabin. Suspensi juga tidak terlalu keras atau lembut yang sesuai untuk menampung empat orang dewasa.

Bunyi menutup pintu juga membuktikan walaupun ia kende­raan kompak, tetapi ia berkualiti tidak seperti model segmen yang sama yang menghasilkan bunyi kedap yang ringan.

Enjin Kappa 1,2 liter dengan kuasa 84PS @ 6,000rpm nyata tidak mengecewakan. Walaupun dipasang dengan transmisi empat kelajuan automatik, kuasanya masih boleh dibanggakan. Penulis sempat memecut lebih kurang 170 kilometer sejam (km/j). Pada kelajuan itu terasa gegaran dan bunyi bising mula memasuki kabin.

Tetapi pada kelajuan 140 km/j, Picanto ini masih sedap dipandu. Adunan bunyi muzik daripada enam spea­ker tidak akan diganggu oleh anasir-anasir bunyi bi­sing luaran. Yang paling menarik ialah sistem audio skrin sentuh bersaiz tujuh inci yang juga berfungsi sebagai skrin paparan imej ketika mengundur. Sistem audio itu sesuai untuk Apple CarPlay dan Android Auto Ready.

Dari segi fizikalnya, ia amat menawan. Dihiasi lampu utama yang agak menonjol dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk U.

Lampu utama yang ditambah baik itu menawarkan pencahayaan yang jelas dan menjimatkan tenaga. Lampu utama yang condong ke depan dihubungkan dengan signature Kia iaitu jeriji tiger nose.

Bamparnya pula agak mene­gak dan dilengkapi jeriji peng­udaraan yang besar. Lampu kabus diletakkan pada sisi tepi.

Jarak roda dipanjangkan seba­nyak 15 milimeter (mm) kepada 2,400mm. Lampu belakang pula jenis LED dengan kombinasi sistem optikal untuk faktor tarikan. Lampu mengundur pula di sebe­lah bawah pada bampar. Kamera mengundur juga turut disertakan.

Walaupun kecil, ia dipasang dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Kerangkanya badannya menggunakan besi kekuatan ter­tinggi terkini (AHSS) bagi melin­dungi kabin. Untuk pemanduan pula ia dilengkapi kawalan ke­stabilan elektrik (ESC) dan kawalan bantuan mendaki (HAC) bagi mengelakkan kenderaan ke belakang ketika melepaskan brek. Yang paling penting ialah ia dipasang dengan enam beg udara!

Kia Picanto ini sebenarnya sebuah kereta kompak yang menarik. Rupa paras dan aspek pemanduannya boleh dijadikan kereta pilihan untuk kegunaan di bandar. Lupakan soal jenama dan persepsi jika mahu memiliki kereta kompak ini.