Presiden dan Ketua Pe­gawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin turut mengumumkan, rakan kongsi usaha samanya, Royal Dutch Shell plc, melalui syarikat gabungan Shell Canada Energy kini memiliki 40 peratus kepentingan dalam pro­jek berkenaan, manakala Pet­roChina Company Limited, melalui anak syarikatnya PetroChina Canada Ltd. (15 peratus); Mitsubishi Corporation, melalui anak syarikatnya Diamond LNG Canada Ltd. (15 peratus); dan Korea Gas Corporation, melalui anak syarikat milik penuhnya Kogas Canada LNG Ltd (5 peratus).

WAN ZULKIFLEE WAN ARIFFIN
WAN ZULKIFLEE WAN ARIFFIN 

Beliau berkata, projek LNG berkenaan akan dikendalikan oleh LNG Canada Development Inc.

“Keputusan pelaburan akhir dengan rakan-rakan usaha sama kami adalah pencapaian penting bagi Petronas dan industri tenaga di Kanada.

“Keputusan itu juga menan­da­kan kerjasama yang kuat da­lam kalangan rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang ber­­­kongsi aspirasi sama untuk memberikan nilai jangka panjang melalui LNG, selaras de­ngan komitmen kami terhadap pembangunan sumber yang mampan dan bertanggungja­wab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, ia adalah projek LNG pertama di Kanada dan projek itu akan membuka jalan bagi kumpulan untuk menambah nilai kepada sumber gas bertaraf dunia di kawasan North Montney dan mengukuhkan port­folio bekalan LNG Petronas ke pasaran Asia.

Kemudahan eksport LNG yang akan dibina di Kitimat, British Columbia, termasuk reka bentuk, pembinaan dan operasi loji pencairan gas asli dan kemudahan penyimpanan dan eksport LNG, termasuk kemudahan marin.

LNG Kanada pada mulanya ter­diri daripada dua unit pemprosesan pencairan LNG yang disebut sebagai ‘Trains’ de­ngan jumlah kira-kira 14 juta tan setahun dan berpotensi untuk ber­kembang menjadi empat Trains di masa depan.

 Petronas dan rakan usaha sama North Montney, merupakan satu daripada pemilik sumber gas asli terbesar di Kanada dengan lebih daripada 52 trilion kaki persegi (Tcf) rizab dan sumber-sumber luar jangka.

Petronas merupakan peng­eks­port LNG ketiga terbesar di dunia selepas Qatar dan Austra­lia dan sedang mengintai peluang di Asia Barat serta Asia Selatan.