Persona merupakan model pertama yang menerima sentuhan baharu sejak Proton memulakan kerjasama dengan Geely pada 2017. Model berkenaan akan dilancarkan pada tahun ini bersama dengan Iriz, namun butiran lanjut seperti tarikh belum diketahui.

Garisan luaran baharu menggambarkan imej sambungan pintar ditambah beberapa elemen estetika dan kemas kini yang membezakan Persona yang dipertingkat dengan model terdahulu. Jentera itu juga membawa elemen keluarga Proton yang baharu termasuk rekaan gril hadapan baharu ‘Ethereal Bow’ sama seperti pada X70.

Lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED) baharu yang dipasang pada perumah berbentuk sarang lebah ditambah dengan rekaan bentuk bampar baharu membuatkan Persona yang dipertingkat kelihatan elegan.

Bahagian belakang tidak lagi menampilkan logo Proton tetapi sebaliknya dieja menggunakan perkataan ‘Proton’ dengan jarak yang agak besar di antara setiap huruf. Bampar belakang baharu yang lebih rendah menyerlahkan identiti visual sementara spoiler memberikan rasa sporty.

Lencana Persona juga diubah seiring dengan penambahbaikan dan gaya yang diterima. Persona yang dipertingkat didatangkan dengan rim aluminium 15 inci serta antena berbentuk shark fin. - UTUSAN ONLINE