• Masuk pasaran tanpa ilmu

Ramai yang menghadiri seminar pengenalan saham dan terus membuka akaun CDS. Biasanya mereka akan terus membeli mana-mana saham yang bersesu­ai­an dengan modal yang ada.

Mengikut kaji selidik yang dilakukan ke atas pengikut Cikgu Saham di laman sosial Facebook, pelabur membeli saham tanpa panduan atau bimbingan. Mereka melakukan urus niaga saham tanpa menggunakan ­khidmat dealer atau remisier walaupun baru terlibat dalam pasaran.

Menghadiri seminar pengenalan saham tidak cukup memberi panduan dan bimbingan sewajarnya kerana ia hanya pe­ngenalan tentang keseluruhan pasaran termasuk dihidangkan dengan kata-kata motivasi dan perkara-perkara yang tidak bersangkutan dengan pembelajaran saham sebenarnya.

  • Tiada dapat tunjuk ajar dan bimbingan sepenuhnya

Mentaliti orang kita apabila mendengar ayat-ayat seperti mudahnya melabur saham, menjana keuntungan 100 peratus dan menjana duit setiap hari merupakan ayat yang sangat digemari.

Ia seolah-olah memberi harapan kepada peserta yang hadir untuk mendengar taklimat saham tanpa menyedari risiko-risiko pelaburan. Sudah tentu sesiapa sahaja akan merasa teruja untuk membeli saham yang kononnya pasti memberikan pulangan me­ng­untungkan.

Da­ripada apa yang dilihat di media sosial Facebook, banyak pengiklanan seminar atau kelas saham memberi gambaran yang indah-indah belaka atau mencanangkan keuntungan sahaja hingga menjadi tarikan orang ramai untuk menyertai seminar tersebut.

Buat masa ini, tiada lagi pemantauan daripada pihak ber­kuasa atau garis panduan di­berikan ke atas ayat-ayat pengiklanan seminar saham yang ada kalanya agak keterlaluan dalam memberi harapan kepada orang ramai.

  • Tidak mendapat pembelajaran lengkap tentang saham

Ramai yang tidak membuat pembelajaran yang lengkap apabila melibatkan diri dalam pasaran saham. Mereka beranggapan sudah memadai dengan hadir seminar pengenalan saham akan menjadikan mereka pelabur atau pedagang yang berjaya. Berjaya membuat pelaburan yang baik dan sentiasa untung setiap kali masuk pasaran.

  • Mengikut saranan beli dan jual tanpa semakan semula

Menyertai kumpulan-kumpulan saham yang menyediakan petua-petua saham atau saranan membeli sangat popular di zaman media sosial ini. Apabila seseorang itu terdedah kepada dunia pelaburan, mereka secara automatik akan terjebak dengan kumpulan-kumpulan saham di Facebook, WhatsApp dan ­Telegram.

Kebanyakan yang menyertai kumpulan ini mempunyai ilmu pengetahuan saham yang cetek, tiada masa membuat kajian saham dan ingin mencari jalan pintas tanpa bersusah payah mengeluarkan banyak wang untuk belajar dan membuat kajian saham.

Jadi, jalan mudah ialah mengikuti apa sahaja saranan membeli atau buy call yang diberikan oleh pengurus kumpulan tersebut tanpa mengetahui latar belakang dan profil pe­ngendali kumpulan-kumpulan berkenaan.

  • Terlalu ramai mentor atau jurulatih saham dalam satu masa

Terdapat juga sesetengah orang gemar belajar saham daripada pelbagai guru dalam tempoh waktu singkat. Mereka beranggapan lebih ramai tenaga pengajar dapat menguasai pelbagai teknik dan berjaya dalam saham.

Walhal mereka tidak me­nyedari, terlalu ramai mentor pada masa sama akan menyebabkan kekeliruan dan tidak dapat menguasai teknik yang dipelajari kerana setiap tenaga pengajar mempunyai kaedah dan pandangan tersendiri tentang pasaran saham termasuk kesukaran menguasai satu-satu kaedah dalam tempoh singkat.

Sebagai contoh, penceramah A berpendapat masanya belum tiba untuk memasuki pasaran disebabkan pasaran dalam a­liran menurun yang berterusan tetapi penceramah B pula me­ngatakan ia merupakan peluang untuk mula membeli saham ketika harga murah.

Sebagai pelabur atau pedagang baharu sememangnya tidak mahir membuat ramalan tentang sentimen pasaran, jus­teru, bila keadaan ini berlaku sudah tentu mereka tidak tahu memilih mana satu pendapat yang boleh diguna pakai.

  • Mendengar cakap orang tanpa kaji selidik

Zaman media sosial ini tidak dinafikan kebebasan bercakap. Sesiapa sahaja boleh memberi pendapat masing-masing tentang pasaran saham. Maka, pendapat atau pandangan yang salah tentang pasaran saham akan membahayakan pelabur dan pedagang baharu ini.

Seperkara lagi, kaedah pe­nyampaian tentang pasaran saham yang dibuat secara langsung di media sosial juga dengan sewenang-wenangnya dibuat tanpa batasan. Kadangkala di dalam siaran langsung Facebook ini penyampai memberi saranan membeli kepada penonton.

Kita sambung topik ini pada minggu hadapan dan Selamat Tahun Baharu 2019.