Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, persaingan yang wujud antara pemegang AP dengan syarikat francais semakin ketara sejak kebelakangan ini, memandangkan pelbagai keistimewaan diberikan kerajaan kepada francais termasuklah kadar cukai import yang lebih rendah.

Katanya, perkara itu telah menyebabkan wujudnya konsep monopoli harga dalam pasaran automotif tempatan sehingga menyukarkan pemegang AP untuk bersaing.

“Sekiranya pelbagai keistimewaan yang dinikmati syarikat francais ini tidak dinilai serta dikaji semula secara menyeluruh, saya bimbang situasi ini menyebabkan pemegang AP terpaksa bersaing dalam persekitaran yang tidak setara.

“Saya bimbang sekiranya tiada kajian semula terhadap perkara ini, secara tidak langsung boleh menjadi 'barah’ yang menyebabkan industri automotif tempatan suram sehingga dikhuatiri mengakibatkan pemegang AP terpaksa gulung tikar,” katanya.

Isu ketidaksamarataan antara pemegang AP dan syarikat francais sering dibangkitkan sebelum ini berikutan pelbagai keistimewaan diterima pemain francais automotif sehingga menyukarkan syarikat pemegang AP untuk bersaing.

Beberapa kelebihan diterima syarikat francais khususnya daripada aspek duti import dan percukaian menyebabkan harga kenderaan baharu yang dijual hampir menyamai harga kenderaan terpakai.

Meskipun begitu, Zainuddin menegaskan, dalam apa juga keadaan Pekema tetap komited untuk terus membela nasib golongan usahawan Melayu dan bumiputera, khususnya pemegang AP.

Katanya, walaupun statistik serta jualan kenderaan import semakin menurun, berikutan oleh kelembapan ekonomi dan saingan daripada francais yang mendapat keistimewaan, tetapi pelbagai inisiatif diusahakan oleh persatuan itu termasuklah memperkenalkan perkhidmatan selepas jualan.

Jelas Zainuddin, komitmen berterusan yang ditonjolkan itu merupakan bukti bahawa Pekema sentiasa berusaha memaju serta mengembangkan lagi perniagaan berasaskan sektor automotif tempatan.

“Meskipun secara praktikalnya kadar jualan kenderaan agak merosot, tetapi Pekema tetap merangka pelbagai rantaian perkhidmatan berkaitan permotoran bagi memastikan prospek perniagaan yang dilaksanakan kekal kondusif.

“Pada masa sama, kami juga menyarankan pihak berwajib, seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) supaya menilai semula dasar percukaian yang dilaksanakan terhadap kenderaan import ketika ini.

“Perkara tersebut penting untuk memastikan pengusaha perniagaan automotif Melayu dan bumiputera mampu bersaing dalam pasaran yang turut melibatkan syarikat francais,” jelas beliau.