Sunway
 

Ketua Pegawai Kewangan Sunway, Chong Chang Choong berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 6.2 peratus kepada RM659 juta dipacu oleh sumbangan yang tinggi daripada segmen pelaburan hartanah dan operasi perbendaharaan kumpulan.

Menurut beliau, kumpulan berjaya mencatatkan PATAMI yang tinggi walaupun mengguna pakai MFRS 15.

“Dengan MFRS 15 pengiktirafan keuntungan progresif sebanyak RM103.7 juta daripada projek pembangunan hartanah di Singapura dan China tidak diambil kira sehingga ia disiapkan.

“PATAMI kumpulan boleh melonjak sehingga 22.9 peratus jika tidak mengambil kesan MFRS 15 dalam tempoh semasa. Kami akan terus mencatatkan prestasi yang baik pada masa hadapan disokong oleh daya tahan perniagaan teras,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah Sunway, Sarena Cheah berkata, segmen berkenaan mencatatkan pendapatan RM619.6 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM158.6 juta, masing-masing susut 33.8 peratus dan 32.6 peratus berbanding tahun kewangan 2017.

Katanya, kelemahan prestasi itu disebabkan oleh jualan yang lebih rendah dan kemajuan pembayaran daripada pembangunan projek tempatan selain penyiapan dan penyerahan beberapa projek pada 2018.

“PBT akan meningkat 11.5 peratus jika tidak mengguna pakai MFRS 15. Kami mengakhiri 2018 dengan jualan sebanyak RM1.88 bilion dan untuk tahun kewangan 2019 kami akan melancarkan beberapa projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion,” ujarnya.

Segmen pelaburan hartanah mencatatkan pendapatan lebih tinggi kepada RM814.8 juta dan PBT RM291.4 juta bagi tahun kewangan 2018. Peningkatan itu disebabkan oleh sumbangan tambahan daripada hartanah baharu seperti Sunway Geo di Sunway South Quay dan tambahan inventori bilik di The Banjaran Hotsprings Retreat & Spa di Ipoh.

PBT pula meningkat 14.1 peratus dibantu prestasi yang lebih baik oleh pusat beli-belah Sunway Vellocity dan taman tema.

Sunway mengumumkan pembayaran dividen tunai interim kedua sebanyak dua sen sesaham dan pengagihan dividen saham sebanyak satu saham perbendaharaan bagi setiap 100 saham biasa sedia ada yang dipegang. - UTUSAN ONLINE