Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, harga jualan tidak termasuk insurans bagi Alza baharu bermula daripada RM51,490 hingga RM62,690 sebuah dan didatangkan dalam tiga varian iaitu Standard, SE serta Advance.

Kesemua varian dikuasakan dengan enjin 1.5liter 3SZ-VE DVVT yang disambungkan kepada transmisi manual lima kelajuan pada Standard MT dan transmisi automatik empat kelajuan pada varian yang lain.

“Antara ciri-ciri baharu dalam kesemua varian adalah grafik panel instrumen dan kluster tengah yang direka semula dan kunci kawalan jauh two-motion. Aliran penyaman udara ke barisan tempat duduk ketiga turut ditambah baik dengan sirip tetap serta penambahbaikan kepada sistem penyejatan dan saluran pertukaran haba.

“Semua varian dilengkapi dengan lampu kabus depan, spoiler belakang, stereng kulit, filem tingkap keselamatan dan solar, sensor belakang dan aloi 15 inci dengan kemasan warna perak pada varian Standard dan titanium pada SE dan. Va­rian Standard dan SE dilengkapi dengan sistem audio baharu dengan fungsi USB dan Bluetooth,” katanya.

Varian SE dan Advance tampil dengan lebih berani dan menonjol menerusi rekaan bampar depan baharu, gril depan bar berkembar dan skirt sisi baharu serta bampar belakang baharu dengan garisan hiasan.

Ciri-ciri lain pada varian SE dan Advance adalah rekaan baharu tempat duduk kulit dan sensor sudut depan manakala Advance secara eksklusif dilengkapi dengan monitor pasang siap di bumbung dan sistem multimedia dengan skrin sesentuh berasaskan Android dengan fungsi pintar, Bluetooth, navigasi dan kamera undur.