Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti Ancasa, Shah Azam Khan berkata, sebanyak RM16 juta diperuntukkan bagi pengubahsuaian untuk menaik taraf status Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur kepada hotel empat bintang.

Katanya, kerja-kerja pengubahsuaian bilik hotel tiga bintang itu bermula sejak tahun lalu di samping menambah kemudahan termasuk kolam renang yang dijangka siap menjelang akhir 2018.

Selain itu jelas beliau, pe­laburan bagi mengubah suai sebanyak 197 unit bilik Ancasa Residences Port Dickson, Negeri Sembilan melibatkan sebanyak RM15 juta dan ia sedang dijalankan secara berperingkat.

“Setelah selesai proses menaik taraf kepada status empat bintang, pihak menyasarkan kadar penghunian sebanyak 63 peratus.

“Kadar penghunian pada tahun lalu sebanyak 62 peratus sementara suku pertama sebanyak 58 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ancasa Hotels & Resorts memiliki lima hotel di empat lokasi iaitu dua di Kuala Lumpur dan tiga lagi masing-masing di Port Dickson, Pekan dan Kuala Terengganu.

Seiring dengan usaha naik taraf itu, pihaknya berhasrat menarik lebih ramai pengunjung dari negara sedang membangun seperti Pakistan, Oman dan Jordan dalam memperkukuhkan operasinya.

Shah berkata, Ancasa Hotels & Resorts turut memberi perhatian kepada pasaran pengunjung dari Asia Tenggara seperti Singapura dan Indonesia serta Sri Lanka selain Arab Saudi ketika musim panas.

“Setakat ini, pengunjung luar negara mewakili kira-kira 22 peratus kepada operasi rangkaian hotel dan ia dijangka meningkat selari dengan prospek industri pelancongan yang semakin me­ningkat baik.

“Kami sentiasa mahu membawa lebih banyak pengunjung dari luar untuk menginap di mana-mana rangkaian Ancasa Hotels & Resorts dan menawarkan servis hospitaliti yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur menyumbang kira-kira 55 peratus kepada perolehan syarikat bagi segmen hospita­liti yang meliputi bahagian santai dan perniagaan.