Tabung Haji memiliki 53.47 peratus pegangan di dalam BHB diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 12.75 peratus, Permodalan Nasional Berhad (PNB), 10 peratus dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), dua peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, berdasarkan perbinca­ngan dengan Tabung Haji setakat ini, BHB kekal sebagai pelaburan penting kepada dana haji tersebut dan tidak timbul soal sama ada KWSP akan muncul sebagai pemegang utama atau tidak selepas

MOHD MUAZZAM MOHAMED
MOHD MUAZZAM MOHAMED 

penstrukturan semula itu.

“Saya yakin apa yang berlaku kepada Tabung Haji sama sekali tidak menjejaskan kedudukan BHB. Bukan sahaja Tabung Haji, pemegang saham kita yang lain juga yakin dengan langkah ini dan kekal bersama-sama kita.

“Ini bermakna kita adalah pelaburan yang baik kepada mereka, Malah, Tabung Haji sendiri menyifatkan kita adalah ‘anak yang baik’,” katanya dalam temu bual dengan beberapa media di sini baru-baru ini.

Kedudukan yang baik

Beliau juga menyifatkan BHB kini berada dalam kedudukan yang baik untuk melaksanakan pelan berkenaan apabila penganalisis meletakkan saranan ‘beli’ dengan sasaran harga sehingga RM4.30 sesaham.

“Bagi kami, ini adalah nilai pasaran yang baik,” katanya. Petang ini, harga saham BHB ditutup pada paras RM4.18 sesaham de­ngan pasaran modal RM7.46 bilion.

Dari segi prestasi kewangan, BHB merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai seba­nyak RM1.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, paras tertinggi yang pernah dicatatkan kumpulan tersebut.

Menurut Mohd. Muazzam, langkah penstrukturan itu akan dilaksanakan menerusi peningkatan dana ekuiti bagi membo­leh­kan BHB menyelesaikan terbitan sukuknya sebanyak RM1.3 bilion setakat tahun lepas.

“Pada 2018, melalui dana bersepadu am sebanyak RM500 juta telah diselesaikan manakala selebihnya RM700 juta adalah nilai nominal.

“Jika kita mahu laksanakan penstrukturan ini, maka kita perlu selesaikan sukuk ini menerusi peningkatan dana ekuiti. Sama ada ia melibatkan mekanisme tawaran persendirian atau tidak, terdapat beberapa alternatif lain juga akan dipertimbangkan,” katanya.

Lebih efisien

Menerusi satu laporan media awal bulan lalu, BHB perlu menangani hutang kepada peme­gang saham sebelum melaksana­kan penstrukturan semula itu yang akan menyaksikan struktur pegangan kewangan dipecahkan.

BHB adalah syarikat pegangan kewangan yang memiliki pega­ngan 100 peratus dalam Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dan 59.64 peratus dalam Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd.

Bank Islam yang menyumbang 80 peratus kepada pendapatan BHB kemungkinan akan mengambil alih status tersenarai dalam penstrukturan semula itu. Dilaporkan penstrukturan itu melibatkan pertukaran saham antara BHB dan Bank Islam.

Mohd. Muazzam yang dilantik ke jawatan tersebut pada Disember lalu berkata, penstrukturan semula itu adalah satu keperluan kepada BHB supaya operasi kumpulan lebih efisien dan pada masa sama membolehkan syarikat di bawah pegangannya memasuki pasaran modal.

“Ini sebenarnya langkah yang baik bagi syarikat operasi mendapat akses ke pasaran modal terutama kepada bank. Buat masa ini, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. sudah disenaraikan pada 30 Julai 1996,” katanya.