MABkargo berkata, syarikat penerbangan itu hari ini melakar satu lagi kejayaan apabila mendarat dengan selamat di Bintulu, Sarawak, dengan muatan kargo pukal hampir 72 tan.

Katanya, penerbangan Silkway West, dari Leipzig, Jerman, mendarat di Bintulu selepas transit di Baku, Azerbaijan.

“Satu pasukan telah menjalankan proses perancangan terperinci untuk menyediakan kargo besar tersebut, memuat dan diterbangkan oleh pesawat B747-400F,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi menyokong operasi jet di Bintulu, syarikat pe­nerbangan kargo itu berkata, peralatan sokongan darat dibawa khas dari Lapangan terbang Kuching dan Miri.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya Amiroel Shazrie Yussof dalam keny­a­taan itu berkata, penerbangan sewa khas untuk industri minyak dan gas itu sangat mencabar dan rumit.

“Dalam kes ini, kami perlu menyediakan lapangan terbang kecil untuk mene­rima pesawat besar. Dengan sokongan pasukan pengawal darat dan pihak berkuasa lapangan terbang tempatan, kami berjaya melaksanakannya,” katanya.

Amiroel juga berkata, pe­nerbangan sewa khas sesuai untuk industri minyak dan gas kerana kami membenarkan pelanggan membuat jadual sendiri menggunakan lapangan terbang yang pa­ling mudah.

Sejak bertahun-tahun, MABkargo memperoleh pe­ngalaman besar hasil daripada penyelarasan, dan berjaya menyerahkan peralatan minyak dan gas ke beberapa destinasi di seluruh dunia.

“Kami juga mengendalikan pelbagai jenis penerbangan sewa khas, termasuk minyak dan gas, Grand Prix, peralatan konsert dan pergerakan ternakan utama.

“Pengalaman kami dalam mengendalikan penerbangan sewa khas ini memperoleh kepercayaan pelanggan ka­mi,” katanya. – BERNAMA