“Selepas dalam tempoh lama mencatat penurunan jualan, kerjasama Proton-Geely meletakkan Proton di tempat kedua dalam gelombang pertumbuhan, sekali gus memberi manfaat kepada kami,” kata Mohammad Hafidz SH, daripada Pusat 3S Proton Pantai Bharu.

Beliau yang juga pengurus Teknologi Maklumat, Rangkaian dan Pemasaran Media bagi pengedar itu berkata, model terbaharu Proton itu dilengkapi teknologi canggih terkini, selesa dan ciri keselamatan dipertingkat berbanding model sebe­lumnya.

“X70 terbukti menjadi jualan terlaris dan satu daripada prestasi terbaik Proton setakat ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Malah, menurutnya, ga­bungan pemasaran secara digital dan dalam talian serta akhbar dan papan iklan sepanjang tahun mendorong X70 dijual se­perti pisang goreng panas.

Sementara itu, Pengurus Servis Proton 4S Vantage Speed, Neoh Eu Gene berkata, pembeli X70 yakin kenderaan mereka menjalani servis di pusat 3S dan 4S termasuk membaiki kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Di samping dapat mempamerkan model baharu akan datang, pusat servis 3S dan 4S yang luas dan selesa beroperasi sebagai pusat sehenti dari saat kereta dijual dan sepanjang penyenggaraan.

“Pusat 4S penting untuk menaikkan keyakinan pelanggan kerana kenderaan baharu dilancarkan setiap tahun,” katanya.

Setakat ini, Proton mempunyai 74 pusat 3S/4S di seluruh negara yang menepati standard baharu dan imej korporat syarikat. Proton mendaftarkan jualan sebanyak 7,007 buah pada Januari 2019, dengan X70 sebagai penyumbang penting dalam meningkatkan prestasi jualan. – BERNAMA