TAN SRI ABDUL WAHID OMAR

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, PNB kini memiliki aset di bawah pengurusan sebanyak RM271 bilion setakat akhir September lalu, dan menyasarkan pegangan tunai ke paras 12 peratus menjelang 2022.

Dalam konteks ini ujar beliau, PNB merancang untuk meningkatkan pelaburan swasta dan aset pendapatan tetap mulai tahun depan bagi mengurangkan pe­gangan tunainya.

Dengan sasaran pertumbuhan aset PNB menjadi RM350 bi­lion pada 2022, ia bermakna PNB harus memiliki pelaburan tambahan bernilai RM23 bilion.

“Keutamaan akan ditumpukan kepada pelaburan swasta, kemudian pendapatan tetap dan disusuli hartanah,’’ kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-13 di sini hari ini.

Januari lalu, PNB me­ning­katkan portfolio prasarana de­ngan pengambil­alihan aset konsesi tol Sistem Lingkaran-Le­buhraya Kajang Sdn. Bhd. bernilai RM380 juta menerusi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas). PNB me­­laksanakan penyusunan semula dalaman bagi menyenaraikan Prolintas di Bursa Malaysia tahun de­pan.

Aset pendapatan tetap PNB pula ialah sebanyak 5.3 peratus daripada keseluruhan portfolio pada akhir Ogos, meningkat dari 3.8 peratus tahun lalu. Pelaburan swasta mewakili 2.8 peratus dan hartanah 3.3 peratus.

Aset utama PNB ialah ekuiti awam, iaitu 69 peratus dilaburkan. Berperanan sebagai pelabur strategik di dalam syarikat gergasi di Malaysia, termasuk bank terbesar Maybank dan konglomerat Sime Darby Bhd.

Pada masa ini, PNB menerajui pemisahan perniagaan Sime Darby menjadi tiga perniagaan berbeza menje­lang 30 November ini.

PNB memiliki 98 peratus aset dilaburkan di dalam negara, turut berhasrat meningkatkan pelaburan di luar negara pada 2018.

“Kami meneruskan usaha untuk mengoptimumkan peruntukan aset kami dan satu daripadanya ialah menyeimbangkan portfolio antarabangsa kami,” kata Abdul Wahid.