Status BioNexus diberikan kepada syarikat berasaskan bio yang berjaya dalam bidang bioteknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, syarikat-syarikat itu juga me­nyumbang sebanyak 10,665 peluang pekerjaan naik 4.2 peratus daripada 10,238 pada 2016.

Katanya, syarikat berstatus BioNexus mencatatkan purata kadar pertumbuhan tahunan 18 peratus dari segi penjanaan hasil dari 2008 hingga Disember 2017.

“Pencapaian ini menunjukkan Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk cemerlang dalam industri berasaskan bio dengan menumpukan kepada bidang berimpak tinggi, pertumbuhan tinggi dan teknologi tinggi.

“Ia berupaya memacu pembangunan teknologi tempatan, menjana peluang ekonomi baharu dan mewujudkan spektrum meluas sektor berasaskan bio di negara ini,” katanya ketika ber­ucap merasmikan Hari Bioekonomi 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp), Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp., Dr. Mohd. Shuhaizam Mohd. Zain.

Madius berkata, pencapaian syarikat BioNexus dan projek-projek yang diperoleh di bawah Program Transformasi Bioeko­nomi (BTP) dan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) mencerminkan kekuatan industri berasaskan bio Malaysia yang terus bertahan meskipun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kompetitif.

“Pada Disember 2017, sebanyak 37 projek BCDP dilaksanakan melibatkan lebih 2,800 peserta terma­suk projek jerami padi di Pendang, Kedah dan projek penanaman nanas di Lekir, Perak,” jelasnya.

“Sementara itu, sebanyak 77 projek pencetus telah diperoleh di bawah BTP yang disasarkan untuk menyediakan lebih 26,700 peluang pekerjaan dan memperoleh pelaburan kumulatif bernilai lebih RM17 bilion menjelang 2020,” jelasnya.