Begitulah penegasan yang dilontarkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Nadzir Sheikh Fazir ketika diajukan soalan mengenai persatuan itu.
Pekema mula diasaskan secara tidak rasmi pada 1982 dengan 53 syarikat menjual kenderaan yang kebanyakannya menerima permit import (AP) daripada kerajaan menjadi ahlinya.
Persatuan itu hanya dirasmikan dua tahun kemudian iaitu pada 6 Mei 1984 dengan pembentukan perlembagaan persatuan sendiri dan terbuka kepada semua pengusaha industri, pengimport dan pengedar kenderaan bermotor Melayu.
Apabila ditubuhkan secara rasmi pada 1984, Pekema berjaya menarik sebanyak 149 syarikat mendaftar sebagai ahlinya. Majoriti ahli Pekema ketika itu ialah syarikat-syarikat yang menjual kenderaan import.
Sejak itu Pekema terus berkembang sehingga menjadi sebuah persatuan yang merupakan rujukan syarikat-syarikat automotif bumiputera tanah air untuk terus berpaut dan berkembang.

Sehingga ke hari ini, Pekema telah mempunyai 207 ahli terdiri daripada syarikat francais kereta, syarikat pengimport kereta, syarikat wakil pengedar kereta dan syarikat motosikal.
Menurut Nadzir, sungguh pun begitu, Pekema juga melalui beberapa detik sukar dalam perjuangan mereka membela nasib syarikat-syarikat Melayu dalam sektor automotif, terutamanya apabila membabitkan isu AP.
Katanya, paling terkesan apabila berlakunya kemelesetan ekonomi sekitar tahun 1987 hingga 1989 yang menyaksikan banyak syarikat pemilik AP tidak mampu menggerakkan perniagaan masing-masing.
“Ketika itu, kerajaan terpaksa potong, tarik balik AP apabila banyak pemilik AP tidak mampu mengoperasikan perniagaan masing-masing. Lebih teruk lagi apabila ada dalam kalangan pemilik AP yang memajak permit berkenaan kepada syarikat lain,” katanya.
Nadzir yang telah bersama Pekema sejak persatuan ini ditubuhkan memberitahu, dalam tempoh itu, beliau juga telah merasai pelbagai cabaran getir yang antaranya termasuklah gerakan pihak tertentu mahu menghapuskan AP.
Katanya, AP yang dikeluarkan oleh kerajaan bukanlah semata-mata untuk membantu bumiputera menceburi sektor perniagaan automotif, tetapi pada masa sama mengimbangi harga kenderaan di pasaran negara.

“Sekiranya tiada AP diberikan kepada syarikat Melayu, kerajaan khuatir akan berlaku monopoli dalam sektor automotif negara. Sekiranya itu berlaku, harga kereta pastinya akan melambung tinggi, kerana tiada persaingan.
“Tetapi apabila AP diberikan kepada syarikat Melayu untuk mengimport kenderaan dengan harga lebih murah, secara tidak langsung, langkah itu telah berjaya mengimbangi harga kenderaan dalam pasaran negara,” tegas beliau.