Perkara itu disuarakan oleh Presidennya, Datuk Zainuddin Abd. Rahman yang kecewa apabila ahli-ahli persatuan itu tidak menerima kelebihan yang sama, dalam dasar yang disifatkan sebagai pasaran terbuka.

“Contohnya, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang menyebabkan kami (ahli-ahli Pekema) selaku pemegang permit import (AP) tidak boleh membawa masuk motosikal dari ASEAN.

“Kami mahu beli Harley Davidson yang dibuat di Thailand, tetapi tidak dibenarkan kerana perjanjian tersebut. Jadi, kami terpaksa beli daripada pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Sedangkan syarikat francais pula tiada halangan untuk mereka membeli dari Thailand. Kata dasar pasaran terbuka, jadi sepatutnya, ahli-ahli Pekema juga dibenarkan ambil dari Thailand, berbanding terpaksa melalui proses yang panjang sekiranya membeli dari AS,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berikutan itu, Zainuddin berharap kerajaan melihat semula dasar serta apa sahaja perjanjian perdagangan bebas yang telah ditetapkan supaya adil dan sama-rata.

Katanya, Pekema bukan minta kelebihan atau keistimewaan, tetapi menuntut hak sama rata seperti dinikmati oleh syarikat-syarikat lain termasuklah francais.

“Perlu diingat bahawa kepentingan peniaga automotif bumiputera juga perlu dijaga, kelebihan perlu sekata, sama rata.

“Kami percaya kalau saksama, perniagaan pemegang-pemegang AP akan dapat berkembang. Perkara ini sekali gus meningkatkan penglibatan golongan bumiputera yang memiliki AP dalam perniagaan dan mengembangkannya ke sektor lain seperti francais, perkilangan dan sebagainya,” jelas beliau.

Sebelum ini, Zainuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap Dasar AP Terbuka yang tidak sama rata dikekalkan kerana banyak pemegang AP terutamanya pengimport motosikal akan gulung tikar.

Zainuddin bimbang pemegang AP sedia ada tidak mampu bersaing dengan pemegang AP francais tempatan yang menikmati banyak faedah sedia ada.

Katanya, polisi atau dasar tersebut tidak memperkasakan agenda ekonomi bumiputera dengan menyekat pemegang AP semasa untuk mengimport kenderaan dari negara ASEAN.

“Harga motosikal terpakai yang kami beli meliputi harga yang telah dikenakan duti import dan cukai selain kos pengangkutan dari negara pengeluar ke negara pengimport.

“Akibatnya, harga motosikal yang kami beli adalah hampir sama dengan harga motosikal baharu yang dikeluarkan di negara ASEAN. Begitu juga dengan kereta yang kami import dari United Kingdom (UK) dan Jepun tidak dapat bersaing dengan kereta baharu model serupa yang diimport dari negara ASEAN kerana harga.

“Duti import dan eksais yang dikenakan terhadap kenderaan import dari negara-negara luar ASEAN adalah jauh lebih tinggi berbanding di rantau ini,” katanya.