ZAINUDDIN ABDUL RAHMAN

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, sehubu­ngan itu, Pekema akan mengadakan pertemuan dengan semua wakil jualan bumiputera esok di ibu pejabatnya untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi semua pengedar dan vendor.

Katanya, pihaknya juga menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan mengadakan pertemuan dengan mereka secepat mungkin.

“Secara dasarnya, kami amat mengalu-alukan Geely sebagai rakan strategik Proton dan berharap usaha sama ini berjaya menaikkan semula Proton sebagai kereta nasional kebanggaan rakyat Malaysia.

“Dalam konteks ini, Pekema menyokong penuh usaha sama dengan Geely yang telah terbukti sebagaimana mereka berjaya memulihkan semula syarikat Volvo sebelum ini.

“Cuma dalam isu ini, Pekema tidak mahu jadi seperti lagu Anak kecil main api yang mana hak keistimewaan orang Melayu dan agenda bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan tidak diambil kira,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Pekema sama sekali tidak menafikan 3S adalah baik untuk jangka panjang tetapi di dalam konteks Proton dan keadaan pasaran ketika ini, Proton perlu memberi masa dan ruang sehingga terbukti jualannya kembali rancak sebelum meminta wakil jualan sedia ada menaik taraf kepada 3S sebelum Oktober 2018.

Pekema jelasnya berpendapat, pe­ngu­rusan baharu Proton tidak harus menekan wakil jualan untuk menaik taraf kepada 3S dalam masa yang singkat mengambil kira keada­an ekonomi pada masa ini.

“Kejayaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang menguasai 39.8 peratus pasaran kereta dengan jualan 204,887 buah pada tahun lalu sebahagian besar dicapai me­lalui wakil jualan Perodua 1S dan juga 3S,” katanya.

“Ini menunjukkan konsep 1S masih boleh menyumbang kepada kejayaan jualan sesuatu organisasi tanpa perlu kesemua wakil jualan menjadi 3S,” katanya.