Demikian penjelasan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman mengenai situasi industri automotif yang semakin hari semakin parah.

Katanya, cukai Lesen Import (AP) berjumlah RM10,000 satu unit dan duti import sebanyak 30 peratus terhadap kenderaan import sebenarnya amat membebankan pengusaha industri tersebut.

“Justeru, dalam Bajet 2017 kelak kami mahu kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneliti dua permintaan kami iaitu mansuhkan cukai AP dan memberi hak sama rata seperti syarikat kereta import francais lain.

“Pasti ramai yang akan menuding jari mengatakan kami asyik meminta-minta dan hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Hakikatnya, hak kami dinafikan di tanah air sendiri.

“Masakan tidak, apabila setiap perkara yang ingin kami lakukan perlu melalui pelbagai sekatan. Sepatutnya kerajaan memudahkan cara bukan menyulitkan seperti yang berlaku ketika ini,” katanya ketika ditemui di pusat pameran yang juga pejabatnya, Zaibar Automobile Industries Sdn. Bhd., Shah Alam baru-baru ini.

Untuk makluman, kesemua ahli Pekema dikenakan levi atau cukai AP sebanyak RM10,000 bagi setiap unit kenderaan import yang dibawa masuk ke Malaysia dan duti import sebanyak 30 peratus.

Pada 1 Januari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan pengecualian duti import terhadap syarikat kenderaan import francais.

Sehubungan itu, Zainuddin berkata, pihaknya telah menyuarakan dua tuntutan Pekema tersebut di laman https://bajet2017.najibrazak.com selain memaklumkan secara terus kepada MITI beberapa kali sebelum ini.

Di samping itu katanya, Pekema juga telah menghantar kertas kerja kepada MITI bagi merayu kepada kerajaan supaya menjadikan Certificate Of Origin (COO) yang dimiliki pemegang lesen AP kepada Privileges Certificate of Origin (PCOO).

Katanya, langkah itu bertujuan memberi peluang sama rata antara pemegang lesen AP dengan syarikat kereta import francais selain menguntungkan pendapatan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, MITI memberi tempoh enam bulan untuk meneliti tuntutan kami ini. Sebelum Pekema mengemukakan perkara ini, kami telah berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan Jepun dan tidak menjadi sebarang masalah kepada mereka.

“Hasrat kami adalah untuk melihat pemegang-pemegang lesen AP ini terus kekal dalam industri automotif kerana ini merupakan usaha kerajaan dahulu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Jika kerajaan terus menekan dan menganaktirikan kami, saya sendiri tidak pasti berapa lama kami mampu bertahan untuk menanggung kerugian setiap bulan,” katanya.