Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, seluruh ahli jawatankuasa tertinggi persatuan itu dijangka mengadakan perbincangan bagi menjalankan proses pengubahsuaian dalaman bangunan itu, esok.

Katanya, pengubah suaian dalaman bangunan itu adalah untuk jangka panjang bagi keselesaan seluruh kakitangan dan ahli-ahli Pekema.

“Antara perancangan kami dalam pengubah suaian itu adalah menempatkan sebuah auditorium di tingkat atas manakala pusat pameran kenderaan yang dijual dalam kalangan ahli-ahli Pekema di bahagian bawah sekali.

“Seterusnya, kami juga merancang untuk menempatkan tingkat khas untuk Sistem Pengesahan Digital (DVS), bilik latihan untuk Akademi Pekema dan sebuah surau yang boleh menempatkan seramai 40 jemaah lelaki serta wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Pejabat Star Central daripada Pengarah Eksekutif Kumpulan Emkay, Ahmad Khalif Mustapha Kamal kepada kesemua pembeli.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pekema, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Joyful Star Sdn. Bhd. (JSSB), Peter Teh; Ketua Pegawai Operasi JSSB, Balasundram Rajasundram dan Pengurus Besar Pemasaran dan Jualan (JSSB), Ruby Mohd. Lana.

Pekema membeli secara tunai dua unit menara Pejabat Star Central yang melibatkan keluasan 36,000 kaki persegi dan turut dilengkapi dengan landskap taman mini dan pentas yang dikelilingi binaan air pancut di tingkat empat.

Di bahagian bawah bangunan tersebut terdapat sebanyak 64 tempat letak kereta yang lengkap dengan perkhidmatan lif dan kawalan keselamatan.

Tambah Zainuddin, perpindahan operasi Pekema di bangunan baharu itu diharap dapat melonjakkan lagi perniagaan 300 ahli kerana potensi dan persekitaran yang ditawarkan di Cyberjaya cukup memberangsangkan.

Katanya, selain menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, beliau juga yakin Kumpulan Emkay dan JSSB akan membantu kesemua usahawan di situ dalam aspek pemasaran.

Dalam pada itu beliau memberitahu, ibu pejabat Pekema yang terletak di Dataran De Palma, Ampang Kuala Lumpur akan disewakan atau dijual jika menerima tawaran harga yang memuaskan.