Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, peningkatan itu dipacu oleh kestabilan semula perbelanjaan pengiklanan (Adex) dan disokong oleh penjanaan pendapatan lain termasuk e-Dagang serta penjualan tiket pawagam.

Beliau berkata, pemulihan Adex meningkat 11 peratus suku ke suku kepada RM179 juta, manakala segmen e-Dagang mencatatkan prestasi suku tahunan sebanyak 35 peratusi tahun ke tahun kepada RM98 juta.

“Dalam landskap media yang sangat kompetitif, Astro terus menjana aliran tunai, kekal berdisiplin dalam menguruskan kos dan proaktif dalam merancang modal operasi.

“Justeru, barisan Lembaga Pengarah dengan sukacitanya mengumumkan pembayaran dividen interim ketiga bernilai 2.5 sen sesaham,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan berkata, secara keseluruhannya Astro mencatatkan keputusan suku tahunan yang menggalakkan dengan mengambil kira capaian pasaran yang kukuh.

“Kami telah menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus tahun ke tahun kepada 5.7 juta pelanggan, atau 76 peratus isi rumah di Malaysia.

“Namun begitu, pendapatan yang dijana menerusi langganan tradisional kekal di bawah tekanan kompetitif,” katanya.

Astro terus meningkatkan penglibatan pelanggan merentasi semua platform dengan capaian seramai 23 juta penonton televisyen, 16.2 juta pendengar radio mingguan, 7.3 juta pengunjung unik bulanan di platform digital dan 1.6 juta pembeli. - UTUSAN ONLINE