Ketua Pegawai Eksekutif Oppo Malaysia, William Fang berkata, syarikat dari China tersebut ketika ini telah menguasai lapan peratus pasaran telefon pintar di Malaysia dalam masa lapan bulan selepas menembusi pasaran negara itu Februari lalu.

Katanya, perkembangan positif terbabit akan menyumbang kepada pertumbuhan yang mampan pada masa depan.

“Sebenarnya saya tidak kisah mengenai penguasaan pasaran tetapi kami mahu menjadikan Oppo sebagai jenama pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pada pelancaran telefon pintar baharunya, N3 dan R5 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Oppo, Sky Li; Ketua Perniagaan Oppo Indonesia, Malaysia dan Singapura yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PT Indonesia, Jet Li; Ketua Pegawai Eksekutif Oppo Singapura, Sean Deng dan Pengurus Produk, Bakarrik Azeri.

Sementara itu, Fang berkata, pihaknya menyasarkan untuk mempunyai tambahan 50 kedai konsep Oppo di Malaysia daripada 21 cawangan ketika ini sebelum sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

“Bagi memperluaskan saluran jualan telefon kami, Oppo juga bakal mengadakan usahasama dengan syarikat telco. Baru-baru ini, kami sudah mengadakan usahasama dengan U Mobile dan bulan depan kami akan bekerjasama dengan Celcom dan seterusnya Maxis,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, N3 yang merupakan model terbaharu siri N adalah telefon pintar pertama di dunia dengan ciri kamera yang boleh berputar secara automatik dan dijangka memasuki pasaran Malaysia akhir Disember pada harga yang disyorkan iaitu RM2,098 seunit.

Menurutnya, R5 pula yang merupakan telefon paling nipis di dunia dengan ketebalan 4.85 milimeter akan disasarkan berada di pasaran pada hujung bulan depan pada harga disyorkan RM1,598. Oppo ketika ini telah memasarkan 10 produknya di pasaran Malaysia.