Menanam cita-cita untuk meraih perolehan syarikat Nizra Group sebanyak RM2 juta sehari dalam jangka masa lima tahun lagi, pemegang Ijazah Pemasaran dari Universitiy of Hertfordshire, United Kingdom ini berazam untuk berusaha keras bagi mengembangkan empayar perniagaan yang dimiliki oleh keluarganya, Nizra Group ke peringkat yang lebih tinggi.

Nizra Group merupakan syarikat milik 100 peratus bumiputera yang bergiat aktif secara amnya dalam bidang automotif, penyediaan makanan (F&B) dan pengilangan melalui syarikat-syarikat di bawah naungannya.

Pengarah Eksekutif Hamza Motors Sdn. Bhd., Nik Iruwan berkata, sektor automotif merupakan penyumbang utama perolehan dan keuntungan kepada Nizra Group.

“Melalui syarikat Hamza Motors Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Nizra Group berjaya meneroka bidang automotif secara menyeluruh, dari rundingan bersama pembekal, pengimportan kepada kastam, pengedaran, pemasaran, penjualan dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.

“Melalui perniagaan itu juga, Nizra dapat menimba kemahiran, pengetahuan dan pengalaman untuk menembusi bidang-bidang lain dalam sektor automotif seperti yang diusahakan sekarang bersama Institut Automotif Malaysia (MAI), sistem untuk memberi gred pada kenderaan-kenderaan terpakai dikenali sebagai Sistem Pemeriksaan Automotif (AIS) seperti digunakan di Jepun,” katanya.

Menurut Nik Iruwan, Nizra turut bersama dalam rangkaian pengedaran window tinting berteknologi tinggi, melalui jenama Konica Minolta yang sedang giat bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar jenama utama kereta di Malaysia.

Katanya, keluaran sampingan melalui syarikat Hamza Motors Sdn. Bhd., yang juga pemegang AP kenderaan import terpakai, Nizra dapat berkecimpung dalam bidang forwarding dan logistik selain memberi perkhidmatan kepada syarikat import kereta di bawah naungan Nizra Group serta syarikat-syarikat lain dalam industri permotoran.

“Pengerusi Nizra Group, Datuk Nik Izani Ibrahim, yang juga merupakan bapa saya berperanan sebagai pengasas bersama konglomerat terkemuka bumiputera, iaitu Kumpulan Mofaz, turut melabur dalam syarikat Mofaz Motosikal Sdn. Bhd. dan terlibat dalam pemasangan dan pengedaran eksklusif motosikal jenama terkemuka seperti MV Agusta, Italjet dan MOMOS.

“Saya percaya industri motosikal di Malaysia boleh diperkembangkan lagi kerana mempunyai infrastruktur dan sistem jalan raya yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Tambah Nik Iruwan, Nizra Group turut mempelbagaikan perniagaan dalam industri yang lain seperti F&B dapat menjana lebih peluang dan juga menyumbang lebih perolehan kepada kumpulan secara amnya.

Kini katanya, Nizra memiliki francais-francais utama yang beroperasi di lapangan terbang terkemuka di Asia Tenggara dan juga di hospital dan universiti terkemuka di Malaysia.

“Nizra baru-baru ini melabur dan memulakan perusahaan kilang makanan halal seperti mi segera, biskut, makanan ringan dan minuman di Rembau, Negeri Sembilan.

“Kilang ini akan menjadi pemangkin untuk industri makanan halal di Negeri Sembilan dan menghasilkan produk-produk sedia dieksport untuk dipasarkan di negara-negara Asia Tenggara, Asia Barat dan China,” katanya.

Jelas beliau, pada tahun hadapan, Nizra Group bakal mempunyai bangunannya sendiri di Sungai Penchala bagi memuatkan pentadbiran syarikat-syarikat di bawah naungannya.

“Ia akan menjadi detik permulaan bagi Nizra untuk terus melipat-gandakan usaha bagi membawa syarikat ke peringkat lebih tinggi.

“Kejayaan syarikat, banyak bergantung kepada struktur dan pengurusan organisasi itu sendiri, maka kami memandang berat kepada modal insan dan percaya Nizra akan memberi landasan terbaik untuk tenaga kerja dan generasi muda untuk menimba pengalaman dan karier di sini,” ujarnya.

Nik Iruwan yang pernah beraksi sebagai pelumba litar Formula negara, meneruskan minatnya dalam sukan permotoran melalui syarikat Nizra Motorsport dan telah terlibat dalam pembangunan pelumba negara melalui sukan go-kart sejak tahun 2008.

“Cita-cita saya sebenarnya adalah untuk melihat anak Malaysia berlumba secara kompetitif dalam perlumbaan Formula 1 pada suatu hari nanti.

Anak sulung daripada empat adik-beradik ini juga mengakui mempunyai jadual yang ketat kerana beliau juga merupakan Presiden Persatuan Orang Muda Kota Bharu, Kelantan iaitu bertanggungjawab dalam membangunkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan di negeri Che Siti Wan Kembang itu.

“Tanggungjawab saya adalah keluarga tapi saya berharap dapat memberi sumbangan kepada masyarakat Kelantan dan Malaysia secara keseluruhannya pada suatu hari nanti,” ujar Nik Iruwan.