Apa dinyatakan Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan tidak ada yang salah. Niat kerajaan mahu bantu B40, kita terima. Ini kerana seramai 3.69 juta individu golongan B40 berumur antara 18 hingga 55 tahun yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup layak menikmati skim tersebut.

Program ini secara dasarnya, adalah baik tetapi mekanisme­nya janggal. Mengapa perlu membiarkan firma asing menguruskan sakit pening rakyat Malaysia?

Penyertaan Great Eastern itu sendiri sebenarnya situasi ‘menang-menang’ kerana kesudiannya mengeluarkan dana sebanyak RM2 bilion sebagai permulaan skim tersebut.

Pengecualian

Maka, sebagai timbal balas firma ini diberi pengecualian da­ripada melupuskan pegangan sebanyak 30 peratus kepada syarikat tempatan seperti ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Tanpa kita sedar, tindakan ini seolah-olah membuka pintu kepada mereka memijak kepala kita disebabkan dasar-dasar kerajaan yang tidak konkrit dan dilihat terbuka.

Ada juga kebimbangan ia akan mewujudkan monopoli sekali gus membunuh syarikat insurans tempatan.

Terdapat 11 firma insurans ­asing dengan memiliki sepenuhnya unit di Malaysia setakat ini, antaranya Tokio Marine Hol­dings Inc. yang berpusat di Jepun dan Chubb Ltd., dari Amerika Syarikat.

Great Eastern adalah satu daripada dua syarikat insurans asing terbesar yang beroperasi di Malaysia dan dimiliki OCBC Bank yang berpusat di Singapura manakala AIA Bhd., syarikat induknya AIA Group Ltd. disenaraikan di papan utama Hong Kong.

Dalam laporan portal Free Malaysia Today sebelum ini, Guan Eng dipetik berkata, pelupusan pegangan hanya memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja sedangkan langkah demikian (skim mySalam) dapat membantu B40 secara menyeluruh.

Melupuskan pegangan

Pada 17 Mei lalu, BNM berkata, lima daripada syarikat insurans asing di negara ini berada di pe­ringkat signifikan dalam perbincangan dengan pelabur tempatan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Februari 2018 dilaporkan dalam proses perbincangan dengan Great Eas­tern untuk membeli pegangan dalam unitnya di Malaysia yang dijangka melibatkan urus niaga bernilai AS$1 bilion (RM4.07 bi­lion).

Selain itu, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pula berminat untuk mendapatkan pegangan tersebut dalam syarikat insurans yang berpangkalan di United Kingdom, Prudential pcl.

Sebelum Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor BNM, 1 Julai lalu, bank pusat itu telah menetapkan tarikh akhir bagi firma asing mematuhi syarat tersebut pada 30 Jun 2018.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya diberi kelonggaran selepas kerajaan PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Ketika Guan Eng mengumumkan skim tersebut, Great Eastern masih lagi di peringkat perbincangan sama ada untuk melupuskan pegangannya atau tidak.

Dalam makluman kepada bursa saham Singapura pada 5 November lalu, Great Eastern Hol­dings Berhad, syarikat induk Great Eastern Life Insurance berkata, pihaknya masih lagi berunding dengan kerajaan jika terdapat kemungkinan pilihan yang lain bagi unit milik penuhnya, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) untuk memenuhi syarat 70 peratus pemilikan asing.

Had pemilikan asing

Bagaimanapun, Nor Shamsiah dalam sidang akhbar 16 November memberi pilihan kepada firma asing ini sama ada mahu melupuskan pegangan mereka dalam unit di Malaysia atau menyumbang kepada skim kesihatan berkenaan. Namun, beliau menegaskan objektif pelupusan itu kekal utuh supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Had pemilikan asing bagi syarikat insurans yang beroperasi di Malaysia ditetapkan sebanyak 70 peratus diumumkan di bawah pelan liberalisasi kewangan pada 2009. Pemilikan asing yang tinggi hanya diberikan dalam kes-kes tertentu sahaja.

Pelan liberalisasi itu bertujuan merebut peluang yang boleh menjana manfaat sebenar dan menyumbang kepada kemajuan sektor kewangan dan ekonomi negara secara keseluruhan dan dalam masa sama memastikan kestabilan dan kekukuhan kewangan negara terus terpelihara.

Sebenarnya, banyak perbeza­an antara memberi peluang kepada firma asing ini membantu rak­yat di negara ini berbanding melupuskan pegangan 30 peratus kepada pelabur tempatan.

Apa yang dibuat oleh kerajaan ini sebenarnya boleh dianggap satu tanggungjawab sosial korporat yang sepatutnya melibatkan syarikat-syarikat insurans lain juga tanpa tertumpu kepada satu syarikat sahaja.

Mengapa Great Eastern yang dipilih sejak dari mula skim ini diumumkan? Lebih memeningkan, kerajaan perlu membayar kadar premium sebanyak RM112 setiap individu kepada pihak syarikat.

Persoalan yang mungkin timbul juga, apa akan jadi kepada syarikat insurans tempatan? Keduanya, adakah ia mampu menarik lebih banyak firma insurans asing menyertai skim ini memandangkan dana RM2 bi­lion itu hanya mampu bertahan selama lima tahun.

Ketiganya, di mana terletaknya ketelusan Kementerian Kewangan dalam perkara ini?