Datuk Mokhtar Samad

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, ini kerana MMC Gamuda sudah membuktikan kebolehan mereka dan membuat pelaburan tinggi bagi kerja bawah tanah Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) dan MRT1.

Katanya, kerja bawah tanah terutamanya bukan satu kerja yang mudah dan memerlukan kepakaran dalam kalangan profesional meliputi pemindahan teknologi dari luar negara.

“Sekiranya bukan MMC Gamuda, saya tidak nampak mana-mana syarikat lain yang mempunyai kelayakan dan kepakaran yang sama atau melebihi syarikat usaha sama (JV) antara Gamuda Bhd. (Gamuda) dan MMC Corporation Bhd. (MMC Corp) itu. “Situasi ini diibaratkan perkahwinan di antara dua pihak, setelah persiapan semuanya telah dilakukan, ia tiba-tiba dibatalkan dan ternyata tidak bagus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini

Mengulas tentang surat terbuka Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada MMC Gamuda, Mokhtar berpendapat Pua tidak seharusnya menceritakan segala-galanya kepada orang awam.

“Ini tidak bagus buat pelabur luar, beliau sepatutnya menghantar surat itu secara terus kepada MMC Gamuda,” katanya.

Dalam pada itu, Mokhtar menggesa supaya kontraktor bumiputera mengambil kesempatan ini untuk menyertai tender terbuka kerja bawah tanah bagi MRT2 apabila ia dibuka nanti.

“Saya akui kontraktor bumiputera tidak mempunyai pe­ngalaman dalam kerja-kerja itu, tetapi jika diberi peluang, mereka boleh mempelajarinya dan membawa teknologi dari luar sama seperti apa yang MMC Gamuda telah lakukan,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegskan bahawa projek tersebut dianugerahkan kepada MMC Gamuda secara tender terbuka antarabangsa pada 2016 dan pakej itu telah siap kira-kira 40 peratus .

Tambahnya, selain MMC Gamuda, empat lagi syarikat telah disenarai pendek untuk tender ini, iaitu China Railway Group (CREC) dan China Communications Construction Co (CCCC) dari China, Taisei Corp dari Jepun, dan Hyundai Engineering dari Korea Selatan.

“Akhirnya MMC Gamuda menang dengan bidaan yang terbaik dari segi teknikal dan dengan harga yang paling rendah.

“MMC Gamuda merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia memiliki kepakaran dan telah terbukti melalui projek terowong SMART dan MRT1 yang mana projek MRT1 ini telah disempurnakan di bawah bajet dan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan,” katanya menerusi akaun Facebook beliau semalam.