TRC Synergy menerima kontrak berjumlah RM858.18 juta, manakala Sunway Construction pula memperoleh kontrak bernilai RM212.3 juta.

TRC memberitahu, kontrak itu adalah bagi pakej kerja V205 iaitu pembinaan dan penyiapan jejambat serta kerja-kerja berkaitan dari Kampung Muhibbah ke Serdang Raya untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

“Kontrak tersebut dijangka me­nyumbang secara positif kepada perolehan dan perolehan sesaham TRC Synergy pada masa hadapan,” katanya dalam kenya­taan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Sunway Construction pula menjelaskan bahawa kontrak berkenaan adalah bagi membina stesen bertingkat di Damansara Damai, Barat Sri Damansara dan Timur Sri Damansara.

Jelas syarikat itu, projek tersebut dijangka siap pada 30 September 2020 dan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

“Kontrak ini tidak akan me­ningkatkan tempahan dalam ta­ngan SunCon Group tetapi akan menambah margin keseluruhan dan memudahkan kerja-kerja penyelarasan,” jelasnya.

Minggu lalu MRT Corp. meng­umumkan penganugerahan tiga pakej kerja jejambat dan satu pakej kerja stesen pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bernilai hampir RM2.74 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, penganugerahan bagi tiga pakej telah dibuat selepas satu Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti (OSPC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membuat keputusan bagi nilai kontrak melebihi RM300 juta.

Sementara itu, Shahril berkata, kontrak dengan nilai di antara RM50 juta kepada RM300 juta telah diputuskan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti II (OSPC II).

“OSPC II telah menganugerahkan Pakej Kerja S201 untuk pembinaan dan penyiapan stesen ber­tingkat dan kerja-kerja berkaitan di Damansara Damai, Sri Damansara Barat dan Sri Damansara Timur kepada Sunway Construction Sdn. Bhd. yang bernilai RM212.3 juta,” katanya.