MRCB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak harga tetap itu untuk kerja-kerja mereka, membina dan pentauliahan LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia di Klang.

Pengumuman itu mengesahkan laporan media baru-baru ini mengenai perjanjian yang dicapai antara usaha sama tersebut dan Prasarana.

Sebelum ini, media juga melaporkan MRCB-George Kent Sdn. Bhd. (MRCBGK) akan mendapat bayaran yang tertunggak pada hujung bulan ini.

Prasarana belum membayar subkontraktor untuk kerja-kerja yang telah disiapkan sejak Februari tahun lalu. Jumlah terkumpul yang masih belum dibayar dipercayai lebih daripada RM1 bilion jika tuntutan setakat Disember tahun lalu di ambil kira.

Perjanjian itu akan disusun semula daripada model Rakan Kongsi Penyam­paian Projek (PDP) kepada kontrak harga tetap dan sepatutnya dilaksanakan pada 12 Disember 2018.

Kerja-kerja LRT3 kembali perlahan pada Oktober lepas sementara menunggu kontrak baharu di samping penilaian semula yang dilakukan oleh kerajaan.

Kerajaan pada Julai 2018 meluluskan untuk meneruskan pembinaan landasan sepanjang 36 kilometer dengan pengura­ngan kos sebanyak 47 peratus kepada RM16.63 bilion.

Kerajaan juga akan menghapuskan model PDP dan kembali semula kepada model siap guna (turnkey) manakala tarikh penyiapan projek dilanjutkan sehingga 2024 berban­ding 2020.

Selain daripada usaha sama MRCB dan George Kent sebagai kontraktor utama, syarikat lain yang terlibat dengan projek berkenaan termasuk Mudajaya Group Bhd., WCT Holdings Bhd., IJM Corp. Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd..